Gangguan seksual, nama abang Jisoo Blackpink dipetik warganet - Utusan Malaysia

Gangguan seksual, nama abang Jisoo Blackpink dipetik warganet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Nama abang kepada anggota kumpulan K-pop terkenal, JIsoo Blackpink iaitu Kim Jung Hoon, menjadi sebutan selepas dikaitkan dengan laporan penahanan seorang lelaki yang disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang penstrim wanita.

Menurut laporan stesen penyiaran Channel A pada Khamis, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an telah ditahan polis dan kini sedang disiasat berhubung dakwaan tersebut.

Lelaki berkenaan, yang dirujuk sebagai Tuan A, didakwa melakukan sentuhan fizikal tanpa persetujuan selepas membawa mangsa, seorang penstrim wanita ke kediamannya.

Difahamkan, kedua-dua mereka bertemu di sebuah restoran di kawasan Gangnam pada Rabu. Tuan A dilaporkan membeli pakej temu janji makan tengah hari bernilai 3 juta won (kira-kira RM10,000) daripada wanita berkenaan.

Mangsa mendakwa suspek sebelum itu berjanji tidak akan melakukan sebarang sentuhan seksual sebelum mereka ke rumah. Namun, sebaik tiba di lokasi, suspek didakwa cuba melakukan gangguan seksual.

Nona B kemudian melarikan diri dan bersembunyi di dalam bilik air sebelum menghubungi rakannya untuk mendapatkan bantuan. Polis yang tiba di lokasi segera menahan Tuan A.

Ketika disoal siasat, suspek mengakui berlaku sentuhan fizikal, namun menafikan unsur paksaan dengan mendakwa ia berlaku atas dasar suka sama suka.

“Memang benar saya menyentuhnya, tetapi tidak wajar dianggap sebagai gangguan seksual,” katanya.

Setakat ini, pihak polis masih belum mengeluarkan waran tangkap dan sedang meneliti peruntukan undang-undang yang sesuai untuk dikenakan terhadap suspek.

Dalam perkembangan sama, identiti sebenar Tuan A menjadi perdebatan dalam kalangan netizen selepas dikatakan merupakan abang kepada seorang anggota kumpulan K-pop terkenal. Nama Kim Jung Hoon mula diperkatakan apabila laporan media tersebut menggunakan imej beliau bersama adiknya, Jisoo daripada kumpulan BLACKPINK sebagai gambar hiasan.

Walaupun wajah dalam gambar itu dikaburkan, ramai pengguna internet mendakwa dapat mengenal pasti individu berkenaan.

Namun, perlu ditegaskan bahawa semua dakwaan setakat ini masih belum disahkan. Pihak Jisoo mahupun Kim Jung Hoon juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.

Terdahulu, Kim Jung Hoon pernah dikaitkan dengan dakwaan serupa pada pertengahan 2025 apabila seorang wanita menuduhnya merakam aktiviti seksual secara tersembunyi.

Tuduhan itu muncul menerusi satu hantaran tanpa nama di platform komuniti pekerja, Blind, yang mendakwa menjadi mangsa rakaman kamera tersembunyi.

Individu tersebut turut mendakwa rakaman berkenaan telah dikongsi kepada rakan-rakan suspek serta melibatkan beberapa wanita lain. Malah, suspek juga dituduh mempunyai hubungan dengan beberapa wanita pada masa sama, termasuk ketika isterinya sedang hamil.

Bagaimanapun, Kim Jung Hoon menafikan semua dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN