Akses persekitaran selamat, bersih, sihat, lestari diiktiraf sebagai hak asasi

Akses persekitaran selamat, bersih, sihat, lestari diiktiraf sebagai hak asasi

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mengiktiraf akses kepada persekitaran selamat, bersih, sihat dan lestari sebagai hak asasi manusia yang perlu dilindungi dan dipromosikan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pendirian itu diperakui melalui penajaan resolusi dalam Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Resolusi pada 8 Oktober lalu di Geneva, Switzerland ini julung kali bagi MHAM dalam mewujudkan kaitan secara jelas dan langsung antara hak itu,” katanya menerusi kenyataan.

Malaysia ujarnya, turut menaja satu lagi resolusi bagi mewujudkan jawatan Pelapor Khusus yang mempromosi dan melindungi hak asasi secara global dalam konteks perubahan iklim.

Resolusi itu disambut baik kerana ia mengenegahkan implikasi ke atas hak asasi disebabkan kemerosotan alam sekitar dan perubahan iklim yang dialami masyarakat di seluruh dunia.

Ini jelasnya, melibatkan golongan rentan seperti orang asal, warga emas, orang kurang upaya dan wanita kerana Malaysia sedar ia menyumbang kepada pembangunan tidak mampan.

“Ia memberi ancaman paling mendesak dan serius terhadap kemampuan generasi kini dan akan datang menikmati hak asasi untuk hidup, kesihatan, perumahan dan lain-lain,” katanya.

Justeru keutamaan Malaysia dalam menangani isu itu merupakan sebahagian janji negara bagi pencalonan ke MHAM PBB penggal 2022-2024 pada pemilihan di New York Khamis ini.

Saifuddin menambah, ia sejajar Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang dilancarkan baru-baru ini ke arah pertumbuhan makmur, inklusif dan mampan bagi semua penduduk.

Pelan itu ujarnya, berhasrat memacu pembangunan hijau melalui penerapan agenda bersih dan berdaya tahan berdasarkan pendekatan senegara melalui komitmen kelestarian planet.

“Malah ini sejajar aspirasi Malaysia menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 dengan keutamaan sosio-ekonomi rendah karbon dan pemuliharaan ekosistem sumber asli,” katanya.

Rancangan lima tahun itu bahkan jelasnya, selari dengan komitmen negara ke atas Agenda Pembangunan Mampan 2030 ditetapkan PBB sendiri melalui pelaksanaan 17 matlamat.

Seperti digesa dalam resolusi itu, Malaysia berhasrat memainkan peranan dalam membina hak asasi manusia yang baharu diperakui tersebut dengan pewujudan dasar bersesuaian.

Bagi mencapai tujuan itu, Malaysia bertekad bekerjasama dengan pelbagai negara selain organisasi serantau dan antarabangsa, masyarakat sivil, para akademik dan sektor korporat.

“Ini termasuk penglibatan bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ke arah mencapai masa depan yang lebih terjamin bagi generasi akan datang,” kata Saifuddin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN