Sebab kekangan masa bukan kerana toksik - Nadiya Nisaa - Utusan Malaysia

Sebab kekangan masa bukan kerana toksik – Nadiya Nisaa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nadiya Nisaa menafikan dakwaan kononnya dia enggan membuka akaun Threads kerana menganggap platform media sosial itu sebagai ruang yang toksik.

Menurut Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, 40, keputusan untuk tidak mempunyai aplikasi tersebut lebih disebabkan faktor kekangan masa berikutan komitmen kerjaya dan kehidupan peribadi.

Katanya, sejak dahulu lagi dia hanya memiliki dua akaun media sosial iaitu Instagram dan TikTok yang juga jarang dikemas kini.

“Saya tidak mempunyai akaun di Threads bukan kerana menganggap platform itu toksik. Malah, saya sendiri tidak begitu mengetahui bagaimana suasana sebenar di sana, sama ada lebih positif atau sebaliknya.

“Faktor utama hanyalah kekangan masa. Jika dilihat, akaun Instagram dan TikTok saya pun jarang dikemas kini.

“Jadi, untuk menguruskan pelbagai akaun media sosial pada masa yang sama memerlukan komitmen yang besar dan saya tidak mempunyai masa untuk berbuat demikian ketika ini,” katanya.

Nadiya berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan tayangan perdana Viu Original, Bidadari Tanpa Syurga di Banglo 289, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Nadiya menjelaskan semua platform media sosial miliknya kini digunakan sepenuhnya untuk tujuan profesional termasuk mempromosikan filem, drama dan projek terbaharu yang dibintanginya.

Menurutnya, sikap untuk mengehadkan perkongsian kehidupan peribadi di media sosial juga dipengaruhi oleh pengalaman yang pernah dilaluinya ketika awal bergelar anak seni.

“Saya pernah berdepan situasi apabila seorang individu tiba-tiba mendukung anak lelaki saya ketika berada di sebuah pasar raya.

“Kejadian itu berlaku secara spontan ketika saya sedang membeli barangan dapur. Walaupun niatnya mungkin sekadar ingin beramah mesra, tindakan menyentuh anak saya tanpa kebenaran agak mengejutkan.

“Mungkin itu antara sebab saya jarang berkongsi mengenai kehidupan harian terutama melibatkan anak-anak. Tambahan pula, suami saya seorang yang introvert dan kami merasakan tiada keperluan untuk memuat naik gambar keluarga di media sosial,” katanya.

Mengulas mengenai kepentingan media sosial dalam kerjaya seni, Nadiya percaya masih ramai penerbit yang lebih menilai kualiti kerja seseorang pelakon berbanding jumlah pengikut yang dimiliki.

“Saya bukan jenis artis yang memuat naik kandungan berkaitan kerjaya setiap hari. Perkongsian saya mungkin hanya sekali dalam sebulan.

“Malah, ada rakan-rakan yang bergurau mengatakan mereka perlu menunggu berbulan-bulan untuk melihat saya memuat naik gambar baharu.

“Bagi saya, semuanya bergantung kepada rezeki. Tidak semestinya seseorang itu perlu mempunyai jumlah pengikut yang ramai. Namun, saya tetap tiada masalah untuk mempromosikan produk atau karya sekiranya ia termaktub dalam kontrak kerja,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nadiya merupakan antara pelakon utama drama bersiri Bidadari Tanpa Syurga yang mula ditayangkan menerusi aplikasi Viu hari ini.

Drama 12 episod arahan Jamal Khan itu turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Syad Mutalib, Lorenzo Irmann, Idzham Ismail dan Shahronizam Noor Ismail.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN