Mengapa selalu bersikap kasar di media sosial?

Mengapa selalu bersikap kasar di media sosial?

DUNIA tidak akan rosak kerana perbezaan pandangan tetapi apabila manusia hilang adab ketika berbeza. GAMBAR: ADIB YAHYA (PELATIH) PEMBERITA: AMSYAR (AM KOSMO!)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia media sosial hari ini, manusia seolah-olah hidup dalam dua alam yang berbeza. Di alam nyata, ramai mampu tersenyum, bersalam, berbudi bahasa dan menjaga tutur kata.

Namun apabila melangkah ke alam maya, sebahagian individu berubah menjadi keras, mudah menghina, cepat melatah dan tidak segan menggunakan bahasa kesat. Seolah-olah skrin telefon menjadi topeng yang menutup rasa malu serta adab dalam diri manusia.

Sedangkan jika bersemuka, belum tentu mereka berani mengucapkan kata-kata tersebut. Inilah penyakit besar masyarakat digital hari ini, iaitu terlalu cepat bereaksi tetapi terlalu lambat berfikir.

Media sosial akhirnya menjadi medan melepaskan emosi, bukan lagi ruang menyuburkan ilmu dan hikmah. Apa sahaja yang tidak selari dengan pandangan sendiri akan diserang dan dihukum.

Malah ada yang berasa puas apabila berjaya memalukan orang lain di ruangan komen. Mereka menganggapnya kemenangan, sedangkan hakikatnya mereka sedang kehilangan nilai kemanusiaan sedikit demi sedikit.

Lebih membimbangkan, budaya ini mula dianggap normal. Kanak-kanak membaca komen kasar setiap hari. Remaja membesar dalam suasana maki hamun digital. Orang dewasa pula berlumba menjadi ‘jaguh papan kekunci’ demi perhatian dan jumlah tanda suka.

Akhirnya masyarakat menjadi semakin keras hati, cepat marah dan hilang sensitiviti terhadap adab.

Dalam Islam, adab lebih tinggi kedudukannya daripada kepintaran berbicara. Namun hari ini, ramai mahu dilihat bijak tetapi mengabaikan nilai kebaikan dalam tutur kata.

Sebenarnya, tidak semua perkara memerlukan respons. Kadangkala diam lebih matang daripada berkata-kata. Tidak semua pandangan perlu diperangi. Ada manusia terlalu sibuk mahu menang dalam perdebatan sehingga lupa menjaga hati dan lidah. Media sosial sepatutnya menjadi ruang perkongsian, bukan medan menghukum manusia sesuka hati.

Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah orang kuat itu yang menang bergusti tetapi orang kuat ialah yang mampu mengawal dirinya ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini menunjukkan kekuatan sebenar terletak pada pengawalan emosi, bukan pada kekasaran kata-kata.

Dalam dunia hari ini, kekuatan sebenar bukan pada siapa paling lantang menghina tetapi siapa paling tenang menjaga akhlak ketika diserang.

Setiap kata yang ditulis di media sosial memberi kesan kepada orang lain. Ada individu yang sedang bergelut dengan tekanan hidup, kemurungan dan keletihan emosi. Kata-kata kasar yang dianggap biasa oleh sesetengah pihak mungkin menjadi luka yang dalam kepada orang lain.

Oleh itu, masyarakat perlu membina budaya rahmah dalam komunikasi digital. Jika tidak mampu berkata baik, lebih baik diam. Jika tidak bersetuju, nyatakan pandangan dengan matang. Jika marah, tenangkan diri sebelum menulis. Tidak rugi menjadi manusia yang lembut dalam pertuturan.

Akhirnya, dunia tidak akan rosak kerana perbezaan pandangan tetapi apabila manusia hilang adab ketika berbeza.

Maka, pilihlah untuk menjadi manusia yang menjaga tutur kata kerana diam yang berakhlak jauh lebih mulia daripada kemenangan yang dicapai melalui cacian. – UTUSAN

ATRIZA UMAR
Calon Ijazah Kedoktoran (Kepimpinan Wanita)
Open University Malaysia (OUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN