Tentukan masa depan lebih baik selepas SPM

Tentukan masa depan lebih baik selepas SPM

PEMILIHAN bidang pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan langkah penting dalam membina masa hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERDASARKAN laporan Statistik Graduan 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah graduan di Malaysia meningkat kepada 5.98 juta orang, manakala kadar pengangguran graduan menurun kepada 3.2 peratus.

Perkembangan ini menunjukkan pasaran pekerjaan negara semakin stabil dan peluang kerjaya terus berkembang. Namun begitu, isu ketidakpadanan antara bidang pengajian dengan keperluan industri masih menjadi cabaran utama yang perlu diberi perhatian oleh pelajar dalam membuat keputusan pendidikan.

Kajian dalam bidang psikologi pendidikan juga membuktikan minat yang selari dengan bidang pengajian meningkatkan peluang kejayaan akademik.

Pelajar digalakkan menggunakan ujian personaliti kerjaya serta mendapatkan panduan daripada guru atau kaunselor bagi mengenal pasti kecenderungan sebenar. Mereka juga perlu meneliti struktur kursus, kemahiran yang diperlukan serta prospek kerjaya sebelum membuat keputusan.

Pada masa sama, pelajar perlu mengelakkan pemilihan bidang berdasarkan populariti semata-mata. Walaupun bidang seperti teknologi maklumat, kejuruteraan dan sains data sering menjadi pilihan utama, kejayaan kerjaya tidak bergantung kepada trend semata-mata.

Laporan Masa Depan Kerjaya 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia menyatakan kemahiran seperti pemikiran analitikal, kreativiti, penyelesaian masalah dan pembelajaran sepanjang hayat akan menjadi semakin penting pada masa hadapan.

Majikan kini menilai graduan berdasarkan keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) serta keperluan industri yang sentiasa berubah.

Oleh itu, pelajar perlu mengimbangkan kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah agar kekal relevan dalam pasaran kerja.

Laporan DOSM turut menunjukkan peningkatan pendapatan graduan dengan median gaji bulanan sebanyak RM4,521 pada tahun 2024. Graduan ijazah mencatatkan median RM5,724, manakala graduan diploma sebanyak RM3,390.

Data ini membuktikan pendidikan tinggi masih memberikan pulangan yang baik jika dipilih dengan tepat.

Peranan ibu bapa juga amat penting dalam proses ini. Ibu bapa perlu menjadi pembimbing yang memberi sokongan dan panduan, bukannya memaksa anak memilih bidang yang tidak sesuai dengan minat mereka.

Masyarakat pula perlu menghargai semua bidang kerjaya termasuk teknikal, pendidikan, keusahawanan dan kemahiran kerana setiap satu menyumbang kepada pembangunan negara.

Pemilihan bidang pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan langkah penting dalam membina masa hadapan. Pelajar perlu mengimbangkan minat, potensi diri dan peluang kerjaya agar keputusan yang dibuat membawa kejayaan jangka panjang.

Apabila minat dan ilmu bergerak seiring, kejayaan bukan lagi kebetulan tetapi menjadi satu pencapaian yang pasti. – UTUSAN

MOHD. KHAIRUL NIZAR MAULA MUHAMAD AKHIR
Pensyarah Kolej Poly-Tech Mara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN