169,803 calon lepasan SPM ditawar tempat ke IPTA

169,803 calon lepasan SPM ditawar tempat ke IPTA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 169,803 orang calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 ditawarkan tempat melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi UPUOnline.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata, jumlah itu mewakili 72.11 peratus daripada keseluruhan 235,480 permohonan layak yang diterima bagi lepasan SPM tahun ini.

Menurut KPT, tawaran tersebut melibatkan kemasukan ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Mara Bahagian Pendidikan Tinggi (Mara BPT).

“Daripada jumlah tersebut, seramai 91,357 calon ditawarkan di UA, 60,947 calon ditawarkan di Politeknik, 15,844 calon di Kolej Komuniti dan 1,655 calon di Mara BPT,” katanya.

KPT berkata, laluan khas turut ditawarkan kepada beberapa kumpulan termasuk 701 Orang Kurang Upaya (OKU), 310 Orang Asli, 179 atlet dan 10,499 calon kategori B40.

Selain itu, katanya, seramai 65 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menerima tawaran melanjutkan pengajian.

Menurut KPT, buat pertama kali, semua program pengajian turut dibuka untuk dimohon oleh calon OKU berdasarkan kelayakan dan kesesuaian masing-masing.

Katanya, langkah itu bertujuan memperluas akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan adil kepada semua.

“KPT turut mengambil inisiatif menawarkan tempat kepada calon yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dan ke atas.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang sewajarnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

“Secara keseluruhan, sebanyak 363 program pengajian ditawarkan bagi sesi kali ini meliputi 41 program sijil, 57 asasi, 264 diploma dan satu Ijazah Sarjana Muda,” katanya.

KPT berkata, kemasukan pelajar ke institusi berkenaan dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.

Bagi calon yang tidak mendapat tawaran, KPT berkata, saluran peluang kedua dibuka melalui proses rayuan di UPUOnline selama 10 hari bermula pukul 12 tengah hari ini hingga 5 petang, 31 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN