Yayasan Keluarga Malaysia santuni pelajar cemerlang SPM 2025

Yayasan Keluarga Malaysia santuni pelajar cemerlang SPM 2025

ISMAIL Sabri Yaakob (kiri) melihat keputusan SPM, Aisyah Maharuddin (dua dari kiri) ketika berkunjung ke kediamannya di Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan pada Program Ziarah Kasih Yayasan Keluarga Malaysia, semalam. UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Kehilangan bapanya yang meninggal dunia akibat pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangat bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Repah di sini untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Aisyah Maharuddin, 18, berkata, bapanya, Allahyarham Maharuddin Abdul Wahab sentiasa berpesan supaya dia dan adik-beradiknya supaya mengutamakan pendidikan dan melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi.

”Waktu ayah masih hidup, dia hanya sempat belajar sampai peringkat sarjana sahaja kerana ketika itu dia sudah sakit dan kerap keluar masuk hospital.

”Arwah pernah berpesan, dia mahu kami belajar lebih tinggi daripadanya, kalau boleh sampai peringkat doktor falsafah (PhD),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Gemencheh di sini semalam.

Anak keempat dari enam orang adik-beradik itu merupakan penerima bantuan Yayasan Keluarga Malaysia memperoleh keputusan cemerlang 10 A dalam SPM 2025 yang diumumkan baru-baru ini.

Terdahulu dia menerima kunjungan Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyampaikan Bantuan Kecemerlangan SPM 2025.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, seramai 32 orang anak yatim di bawah yayasan tersebut menduduki peperiksaan SPM tahun lalu dengan enam daripadanya memperoleh keputusan cemerlang serta menerima bantuan kecemerlangan itu.

“Tiga penerima iaitu Aisyah Maharuddin, Nur Aqilah Alya Mohamad dan Nurhani Ainan Khafizan masing-masing memperoleh 10A dan 9A menerima sumbangan wang tunai RM1,000 seorang.

“Tiga lagi penerima iaitu Nurul Iffah Hafshah Irwan, Nur Afiqah Najla Maharin dan Anis Shazrina yang meraih antara 8A hingga 5A menerima RM500 seorang.

”Saya harap dengan adanya bantuan ini akan memberi mereka lebih semangat untuk berjaya. Jika berjaya dalam pendidikan, bukan sahaja mereka dapat mengubah hidup mereka malah dapat mengubah nasib keluarga,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera memberitahu, setakat ini hampir 1,000 penerima bantuan telah dikenal pasti di bawah yayasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN