PETALING JAYA: Seramai 13 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah naungan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi selepas mencapai keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan itu.
Jumlah itu mewakili 40 peratus daripada keseluruhan 33 pelajar YKM yang menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan itu membuktikan sokongan pendidikan berterusan mampu membuka laluan lebih baik kepada anak-anak daripada keluarga yang memerlukan.
“Tahniah kepada semua anak-anak YKM yang berjaya melangkah ke menara gading. Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan dorongan, disiplin dan sokongan yang tepat, mereka mampu membina masa depan yang lebih baik.
“Namun, peratusan anak-anak YKM yang menyambung pelajaran masih perlu dipertingkatkan. YKM mensasarkan lebih separuh daripada pelajar lepasan SPM di bawah naungannya meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kesemua 13 pelajar berjaya menyambung pengajian ke peringkat seterusnya itu termasuk Tingkatan Enam, Diploma, Matrikulasi, Asasi, Sijil dan TVET.
Pelajar cemerlang YKM SPM 2025 iaitu Aisyah Maharuddin yang memperoleh keputusan 10A telah menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, manakala Nurhanani Ainah Khafizan (9A) dan Nur Aqilah Alya Mohamad (9A) masing-masing melanjutkan pelajaran dalam program Asasi di UiTM Dengkil selama setahun.
Ismail Sabri yang juga Pengerusi YKM berkata, bantuan tunai yang bertujuan membantu meringankan perbelanjaan awal sebelum mereka memasuki kampus itu akan mula dikreditkan ke dalam akaun masing-masing bermula esok.
“Bantuan ini adalah sokongan awal yang bermakna untuk membantu mereka memulakan perjalanan di kampus dengan lebih yakin. YKM akan terus berdiri bersama mereka dalam usaha mengejar ilmu dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Ahli Parlimen Bera itu turut memberi komitmen bahawa selagi YKM mempunyai kemampuan kewangan, yayasan itu akan terus memastikan anak-anak di bawah naungannya tidak tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan berkualiti.
Selaras dengan komitmen tersebut, YKM akan memperluaskan program pembangunan pendidikan termasuk Kem Motivasi SPM 2026 bersama pusat tuisyen MC PLUS, dengan sasaran sekurang-kurangnya 10 pelajar memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM 2026. – UTUSAN








