Kebergantungan yang berlebihan kepada kecerdasan buatan (AI) boleh melemahkan keupayaan berfikir secara kritis dan mendalam.
Pelajar cenderung menerima maklumat tanpa menilai kesahihan dan relevansinya secara menyeluruh. Mereka juga semakin kurang terlibat dalam proses menganalisis, membanding dan membuat penilaian sendiri.
Lama-kelamaan, pembelajaran menjadi pasif dan peranan pelajar sebagai pemikir aktif semakin berkurang.
Penggunaan AI secara berterusan turut mengurangkan tahap penglibatan mental dalam proses pembelajaran. Pelajar mungkin berjaya menyiapkan tugasan dengan cepat tetapi mereka tidak benar-benar memahami isi kandungan yang dihasilkan.
Mereka hanya menumpukan kepada hasil akhir tanpa melalui proses pembelajaran yang sebenar.
Keadaan ini menjejaskan keupayaan mereka untuk mengingat, menghuraikan dan mengaplikasikan ilmu dalam situasi berbeza. Akibatnya, ilmu yang diperoleh menjadi cetek dan mudah dilupakan.
Kebergantungan kepada AI juga boleh menghakis rasa pemilikan terhadap hasil kerja sendiri. Pelajar mungkin kurang yakin dengan tugasan yang dihasilkan kerana mereka tidak membina sepenuhnya idea tersebut secara kendiri.
Mereka juga berdepan kesukaran untuk menjelaskan atau mempertahankan isi kandungan tugasan. Situasi ini boleh menjejaskan keyakinan diri serta integriti akademik apabila pelajar tidak benar-benar memahami apa yang mereka serahkan.
Dalam jangka masa panjang, kebergantungan terhadap AI berisiko menjejaskan perkembangan kemahiran insaniah seperti komunikasi, penyelesaian masalah dan pemikiran analitik.
Sedangkan kemahiran ini sangat penting dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar. Majikan masa kini bukan sahaja mencari graduan yang berpengetahuan tetapi juga individu yang mampu berfikir secara bebas dan menyelesaikan masalah dengan kreatif.
Sebaliknya, pelajar perlu menggunakannya secara seimbang dan beretika. Dengan mengurangkan kebergantungan, pelajar dapat mengasah pemikiran kritis melalui usaha sendiri.
Mereka akan lebih aktif menilai maklumat, membina hujah dan menghasilkan idea yang asli. Proses ini memperkukuh keupayaan intelektual secara menyeluruh.
Pembelajaran secara kendiri membantu pelajar memahami sesuatu topik dengan lebih mendalam. Ilmu yang diperoleh melalui usaha sendiri lebih mudah diingati dan diaplikasikan.
Pelajar juga boleh membina keyakinan diri apabila berjaya menyiapkan tugasan tanpa bergantung sepenuhnya kepada teknologi. Keyakinan ini penting dalam membentuk jati diri akademik yang kukuh.
Penggunaan AI secara terkawal turut memupuk keaslian akademik. Pelajar akan lebih menghargai nilai kejujuran dalam menghasilkan tugasan dan mengelakkan amalan yang menjejaskan integriti akademik. Ini membentuk sikap bertanggungjawab dan beretika dalam kalangan pelajar.
Keseimbangan antara penggunaan AI dan usaha intelektual sendiri amat penting dalam melahirkan generasi pelajar yang celik digital, berfikir kritis, beretika dan berdaya saing dalam dunia masa hadapan. – UTUSAN
DR. NOOR ZURAIDIN MOHD. SAFAR
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)









