2,797 penapis air bernilai RM7.5 juta dirampas  - Utusan Malaysia

2,797 penapis air bernilai RM7.5 juta dirampas 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 2,797 penapis air jenama terkenal bernilai RM7.5 juta yang disimpan dan dijual tanpa kelulusan dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Serbuan di sebuah gudang di Taman Perindustrian Subang pada Sabtu lalu mendapati produk berkenaan disimpan dan dijual sebuah syarikat jualan langsung.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, tindakan dilakukan hasil daripada naziran lesen syarikat jualan langsung yang dijalankan pegawai penguat kuasa.

“Hasil naziran itu mendapati syarikat berkenaan menyimpan dan menjual model terbaru penapis air tanpa mendapat kelulusan KPDNHEP terlebih dahulu.

“Syarikat berkenaan hanya menerima 21 kelulusan produk yang boleh disimpan dan dijual,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ariffin berkata, produk yang tidak tersenarai dalam kelulusan adalah menjadi kesalahan kerana tertakluk kepada lesen jualan langsung.

Jelas beliau, itu menjadi tanggungjawab syarikat jualan langsung untuk memohon kelulusan berhubung produk baharu mereka seperti yang tertakluk di dalam syarat lesen.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(4) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 iaitu pemegang lesen yang tidak mematuhi mana-mana syarat lesen yang dikenakan oleh pengawal adalah melakukan suatu kesalahan.

“Kita memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat supaya tidak melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.