19 lembu mati bergelimpangan dipanah petir - Utusan Malaysia

19 lembu mati bergelimpangan dipanah petir

SEBANYAK 19 lembu ditemukan mati bergelimpangan berhampiran satu sama lain di sekeliling pokok kelapa sawit, dipercayai akibat dipanah petir di Gua Musang hari ini. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang penternak kerugian hampir RM100,000 apabila 19 lembu ternakannya mati dipercayai dipanah petir di kawasan ladang sawit Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2, di sini, malam tadi. 

Kesemua haiwan terbabit ditemukan mati bergelimpangan berhampiran satu sama lain tanpa sebarang kesan kecederaan fizikal di sekeliling sebatang pokok kelapa sawit kira-kira pukul 7.30 pagi ini.

Penternak tersebut, Mohd. Sharulafizam Johari, 31, berkata, kejadian malang itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 10 malam, iaitu ketika seluruh kawasan tersebut dilanda ribut petir disusuli hujan lebat.

Katanya, dia memiliki 49 ekor lembu dan kesemua haiwan ruminan tersebut dilepaskan berkeliaraan dalam kawasan ladang sawit berkenaan.

“Saya menyedari kejadian itu selepas masuk ke ladang sawit untuk melihat ternakan lembu pada pukul 7.30 pagi ini.

“Saya amat terkejut apabila melihat 19 lembu ternakan saya mati bergelimpangan tidak jauh antara satu sama lain mengelilingi sebatang pokok kelapa sawit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Mohd. Sharulafizam berkata, kejadian itu pertama kali berlaku sejak dia menternak lembu tujuh tahun lalu. 

“Biasanya saya akan ke ladang untuk memantau lembu-lembu saya setiap petang. Kali terakhir saya periksa mereka pukul 7 petang semalam dan semua lembu saya berada dalam keadaan baik.

“19 ekor lembu yang mati itu dipercayai berkumpul di bawah pokok ketika cuaca buruk malam tadi sebelum dipanah petir,” katanya sambil memberitahu telah melaporkan perkara itu di Balai Polis Paloh tengah hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan berkaitan kejadian tersebut oleh Mohd. Sharulafizam.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya