Daripada sekadar menghasilkan hiasan untuk bilik anaknya, seni hiasan nama dawai kait kini menjadi medium kreativiti, terapi emosi dan sumber pendapatan sampingan buat Nur Sabrina Mohd Zailani, 28.
Pada awalnya, ia hanya projek kecil untuk mencipta dekorasi istimewa buat anak tersayang akhirnya berkembang menjadi sebuah perniagaan kraftangan yang menerima tempahan dari dalam dan luar negara.
Berasal dari Sabak Bernam, Selangor dan kini menetap di Puncak Alam, Nur Sabrina merupakan graduan bidang kewangan dari Multimedia University (MMU), Cyberjaya.
Selepas bergelar ibu, dia memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa bagi memberi tumpuan kepada keluarga serta membesarkan anak sendiri di rumah.
Namun, di sebalik kesibukan menguruskan rumah tangga dan anak, dia tetap mencari ruang untuk meneroka minat dalam dunia seni dan kraf.
Pencarian itu akhirnya menemukannya dengan seni hiasan nama dawai kait, yang bukan sahaja menjadi wadah untuk mengekspresikan kreativiti, malah memberi kepuasan dan ketenangan dalam rutin hariannya.
“Saya mula perlahan-lahan mencari hobi yang boleh menjadi ruang untuk saya berkarya dan mencuba sesuatu yang baharu,” katanya kepada Seri.
Bermula dari hiasan bilik anak
Penglibatan Nur Sabrina dalam seni hiasan nama dawai kait bermula sekitar Januari tahun ini ketika dia mencari inspirasi dekorasi bilik kanak-kanak melalui Pinterest.

Ketika itu, dia sering melihat hiasan nama dawai kait digunakan sebagai dekorasi bilik dan ruang bermain kanak-kanak di luar negara, sekali gus menarik perhatiannya untuk mengetahui lebih lanjut tentang seni tersebut.
“Saya perasan ramai menggunakan nama dawai kait sebagai hiasan bilik anak. Ia nampak ringkas tetapi sangat lain daripada lain kerana mempunyai sentuhan buatan tangan dan personal,” katanya.
Menurut Nur Sabrina, keinginan untuk mencuba seni itu tercetus daripada hasrat untuk menghasilkan sesuatu yang istimewa buat anaknya sendiri.
Dia sememangnya gemar menghasilkan karya yang mempunyai sentuhan peribadi, lebih-lebih lagi sesuatu yang dibuat menggunakan tangan sendiri.
Walaupun tidak mempunyai pengalaman atau kenangan khusus berkaitan seni hiasan nama dawai kait ketika kecil, minat terhadap aktiviti kreatif dan kraftangan sudah lama sebati dalam dirinya.
Malah, kecenderungan terhadap dunia seni bukan sesuatu yang asing buat Nur Sabrina.
Sebelum ini, dia pernah mengusahakan perniagaan kecil-kecilan menjual jambangan bunga kait secara dalam talian.
Namun selepas bergelar ibu, minat tersebut terpaksa diperlahankan bagi memberi tumpuan kepada keluarga dan membesarkan anak.
Apabila anaknya semakin membesar, Nur Sabrina mula merasakan keinginan untuk kembali aktif dalam bidang kraf serta meneroka kemahiran baharu yang dapat mengisi masa lapangnya dengan lebih bermakna.
“Sekarang bila anak semakin membesar, saya mula rasa ingin meneroka semula bidang kraf dan mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.
Belajar sendiri melalui media sosial
Inspirasi awal Nur Sabrina banyak diperoleh melalui Pinterest sebelum dia mula mencari lebih banyak video berkaitan seni hiasan nama dawai kait di TikTok dan YouTube.

Melalui platform-platform tersebut, dia mempelajari teknik penghasilan karya secara kendiri tanpa menghadiri sebarang kelas atau kursus formal.
“Saya banyak tengok video orang lain dan cuba ikut langkah demi langkah. Dari situ saya belajar sedikit demi sedikit dan banyak penambahbaikan melalui latihan sendiri,” katanya.
Hasil pertama yang berjaya dihasilkannya ialah nama anaknya sendiri, Alina Safiyyah.
Walaupun karya tersebut masih jauh daripada sempurna jika dibandingkan dengan hasil yang dihasilkan sekarang, Nur Sabrina tetap menganggapnya sebagai karya yang cukup istimewa kerana menjadi titik permulaan perjalanannya dalam bidang tersebut.
“Kalau tengok semula memang tidak berapa kemas kerana waktu itu masih baru belajar. Tetapi saya tetap suka hasil pertama itu sebab nampak usaha dan proses belajar saya sendiri,” katanya.
Dia masih mengingati perasaan gembira dan bangga apabila berjaya menyiapkan karya pertamanya itu.
Menurutnya, pengalaman tersebut memberikan kepuasan yang sukar digambarkan serta menjadi pendorong untuk terus belajar dan memperbaiki kemahiran yang dimiliki.
“Bila tengok sesuatu yang pada awalnya cuma idea akhirnya berjaya disiapkan dengan tangan sendiri, saya rasa sangat puas hati,” katanya.
Bagaimanapun, perjalanan untuk menguasai teknik hiasan nama dawai kait bukanlah sesuatu yang mudah.

Pada peringkat awal, cabaran terbesar yang dihadapi ialah membentuk tulisan yang kemas dan konsisten kerana dawai yang digunakan agak keras serta memerlukan kawalan tangan yang baik.
Ada kalanya dia terpaksa mengulang bentuk huruf yang sama beberapa kali sebelum berpuas hati dengan hasil yang diperoleh.
“Kadang-kadang saya perlu ulang bentuk huruf yang sama beberapa kali sebab tidak puas hati dengan hasilnya,” katanya.
Menurutnya, tempoh untuk menguasai kemahiran tersebut bergantung kepada individu dan sejauh mana mereka sanggup meluangkan masa untuk berlatih.
Perubahan dan peningkatan kemahiran boleh dilihat dalam tempoh yang singkat, namun untuk menghasilkan tulisan yang benar-benar kemas, seimbang dan konsisten memerlukan latihan yang berterusan serta tahap kesabaran yang tinggi.
Setiap huruf perlukan ketelitian
Katanya, penghasilan satu nama dawai kait memerlukan perancangan yang teliti dan kesabaran yang tinggi bagi memastikan hasil akhir kelihatan kemas serta seimbang.
Proses tersebut bermula dengan meneliti terlebih dahulu nama atau perkataan yang ingin dihasilkan kerana dia menggunakan konsep tulisan berangkai.
Pada peringkat ini, dia perlu memastikan sama ada sesuatu nama itu sesuai dibentuk menggunakan teknik tersebut.
Terdapat beberapa simbol, karakter khas serta gabungan huruf besar dan huruf kecil yang agak sukar untuk dibentuk dan memerlukan penelitian sebelum proses penghasilan dimulakan.
Selepas itu, nama tersebut akan dijejak semula menggunakan templat khas bagi memastikan bentuk tulisan lebih konsisten dan kemas.
Seterusnya, panjang tulisan akan diukur sebelum benang dihasilkan menggunakan teknik i-cord dengan bantuan mesin i-cord knitter.

Apabila benang siap dihasilkan, dawai aluminium akan dimasukkan ke dalam benang tersebut sebelum dibentuk mengikut setiap huruf satu persatu sehingga membentuk nama yang dikehendaki.
“Kadang-kadang bentuk tulisan tidak menjadi seperti yang saya bayangkan. Kalau saya rasa kurang kemas, saya akan buka semula dan lenturkan semula dawai tersebut sampai dapat hasil yang saya puas hati,” katanya.
Antara peralatan asas yang digunakan termasuk mesin i-cord knitter, dawai aluminium, benang, playar, pemotong dawai, templat huruf serta beberapa peralatan kecil lain yang membantu menghasilkan bentuk tulisan yang lebih tepat dan kemas.
Tempoh untuk menyiapkan sesebuah karya pula bergantung kepada panjang nama serta reka bentuk yang diminta pelanggan.
“Ada yang boleh siap dalam beberapa jam dan ada juga yang mengambil masa satu hingga dua hari,” katanya.
Sebagai seorang ibu, Nur Sabrina biasanya memanfaatkan waktu anaknya tidur atau waktu tidur tengah hari untuk berkarya.
Suasana yang lebih tenang pada waktu tersebut membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap setiap tempahan yang dihasilkan.
Kini, apabila jumlah tempahan semakin meningkat, dia turut belajar menyesuaikan masa antara menyiapkan pesanan pelanggan dan menguruskan keluarga agar kedua-duanya dapat diseimbangkan dengan baik.
Utamakan kekemasan
Bagi Nur Sabrina, elemen paling penting dalam setiap hasil yang dihasilkan ialah kekemasan.
Walaupun reka bentuk yang dihasilkan kelihatan ringkas, dia mahu setiap karya tampil bersih, seimbang dan menyenangkan mata memandang.
“Saya sangat mementingkan perincian kecil kerana benda-benda itu yang membezakan hasil buatan tangan,” katanya.
Selain itu, dia juga gemar bereksperimen dengan warna dan aksesori seperti reben atau bentuk hati bagi menjadikan hasil lebih menarik.
Walaupun begitu, dia lebih cenderung menghasilkan rekaan yang ringkas dan kemas kerana baginya konsep tersebut lebih kekal relevan dan mudah dipadankan dengan pelbagai dekorasi bilik.
Seperti penggiat seni lain, Nur Sabrina juga pernah menghasilkan karya yang tidak menjadi seperti yang dirancang.

Katanya, pada peringkat awal pembelajaran, dia mengambil masa untuk membiasakan diri menggunakan mesin i-cord dan menghasilkan benang yang benar-benar kemas.
“Banyak hasil yang menjadi kurang kemas dan tidak seperti yang saya bayangkan,” katanya.
Namun dia menganggap pengalaman tersebut sebagai proses pembelajaran yang membantu meningkatkan kemahiran dan ketelitian dalam menghasilkan karya.
Bagi Nur Sabrina, perkara paling menyeronokkan tentang seni hiasan nama dawai kait ialah menyaksikan sesuatu karya terbentuk daripada sekadar idea sehingga menjadi hasil yang lengkap dan siap sepenuhnya.
Setiap karya yang berjaya disiapkan memberikan kepuasan tersendiri kerana ia lahir daripada usaha, masa dan kreativiti yang dicurahkan sepanjang proses penghasilan.
Namun, kepuasan yang lebih bermakna hadir apabila hasil kerjanya dihargai dan digunakan oleh orang lain, sama ada sebagai dekorasi mahupun hadiah istimewa.
Nur Sabrina turut menerima sokongan penuh daripada keluarga dan rakan-rakan sejak awal penglibatannya dalam bidang tersebut.
Malah, individu pertama yang membuat tempahan ialah ibunya sendiri yang mahu menggunakan hasil tersebut sebagai dekorasi di homestay miliknya.
Tempahan pertama itu menjadi titik permulaan yang memberi keyakinan untuk menerima lebih banyak pesanan daripada pelanggan lain.
Selepas mengambil masa kira-kira tiga hingga empat bulan mempelajari teknik serta memperkemaskan hasil kerjanya, dia mula menerima tempahan daripada pelanggan luar sekitar April tahun ini.
Lebih membanggakan, hanya sebulan selepas mula menerima tempahan secara serius, dia berjaya memperoleh pelanggan dari Singapura.
Pencapaian itu dianggap sebagai satu langkah bermakna kerana menembusi pasaran luar negara merupakan antara impian yang ingin dicapainya dalam bidang kraf.
“Ia merupakan antara impian kecil saya dalam dunia perniagaan kraf kerana saya mahu meluaskan pasaran ke luar negara,” katanya.
Seni hiasan nama dawai kait turut memberi kesan positif terhadap kesejahteraan emosi Nur Sabrina.
Dia menganggap aktiviti tersebut sebagai ruang untuk berehat seketika daripada rutin harian sebagai seorang ibu.
“Bila ada sesuatu yang saya boleh fokus dan hasilkan sendiri, saya rasa lebih tenang dan seronok,” katanya.










