AS serang tapak radar Iran

AS serang tapak radar Iran

AS menyerang Iran bersama Israel sejak 28 Februari lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Tentera Amerika Syarikat (AS) memaklumkan menyerang beberapa tapak radar di pesisir selatan Iran pada Jumaat dalam insiden terbaharu yang mengancam gencatan senjata dalam konflik di Asia Barat.

Dalam satu kenyataan, Komando Pusat AS (CENTCOM) berkata, pasukannya berjaya menembak jatuh empat dron serangan sehala Iran yang dilancarkan ke arah Selat Hormuz sebelum menyerang tapak radar pemantauan pantai Iran di bandar Goruk dan di Pulau Qeshm.

“Dron serangan itu menimbulkan ancaman segera kepada trafik maritim serantau, manakala serangan ke atas pemasangan radar dilakukan bagi mempertahankan diri daripada serangan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Gencatan senjata antara AS dan Iran berkuat kuasa sejak 8 April lalu, namun rundingan susulan bagi mencapai penyelesaian yang lebih kekal setakat ini masih gagal membuahkan hasil.

Presiden AS, Donald Trump, berdepan tekanan untuk mencari jalan menamatkan konflik tersebut yang menggugat pasaran dan kurang mendapat sokongan dalam negara menjelang pilihan raya pertengahan penggal.

Dalam temu bual bersama NBC News lewat Jumaat, Trump mengakui Iran masih mempunyai keupayaan ketenteraan untuk meneruskan peperangan.

“Mereka masih mempunyai beberapa peluru berpandu dan dron. Dari segi peratusan, saya anggarkan mereka masih memiliki sekitar 21 hingga 22 peratus daripada stok peluru berpandu mereka,” katanya.

Sementara itu, tentera Iran mendakwa pada Jumaat mereka melancarkan ‘peluru berpandu amaran’ ke arah dua kapal pemusnah AS di Teluk Oman, namun dakwaan itu segera dinafikan oleh pihak tentera AS.

Dua hari sebelum itu, Kuwait memaklumkan ia berjaya memintas 30 peluru berpandu balistik yang didakwa dilancarkan sebagai sebahagian daripada ‘pencerobohan kejam Iran’.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN