KYIV/WASHINGTON: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mencadangkan pertemuan secara bersemuka dengan rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin menerusi sepucuk surat terbuka yang jarang berlaku.
Surat itu dihantar selepas Kremlin mengaku Moscow perlu memperkukuh sistem pertahanan udaranya susulan siri serangan Ukraine.
Kremlin berkata, Putin masih belum melihat surat berkenaan, namun menyatakan Zelensky boleh bertemu beliau di Moscow pada bila-bila masa, cadangan yang lebih awal ditolak pemimpin Ukraine itu dalam suratnya.
“Ukraine mencadangkan supaya perang ini ditamatkan menerusi rundingan secara langsung antara kita, antara saya dan anda. Saya mencadangkan satu pertemuan. Saya mencadangkan supaya satu tarikh jelas ditetapkan untuk pertemuan itu.
“Ukraine bersedia melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya sepanjang tempoh rundingan berlangsung,” kata Zelensky dalam surat berkenaan.
Zelensky mengeluarkan surat itu sehari selepas dron Ukraine menyerang Saint Petersburg ketika bandar kelahiran Putin itu menjadi tuan rumah forum ekonomi antarabangsa utama minggu ini.
Pemimpin Ukraine itu berulang kali menggesa pertemuan dengan Putin dan menyatakan hanya rundingan bersemuka mampu menghasilkan persetujuan mengenai isu wilayah.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sebelum ini mendesak kedua-dua pihak menamatkan konflik dan mendakwa mampu menamatkan perang dalam tempoh sehari selepas memegang jawatan, berkata, beliau gembira kedua-dua pihak mungkin akan bertemu.
“Saya fikir kami banyak membantu ke arah itu. Saya fikir ia bagus jika mereka bertemu. Mereka patut lakukan untuk selesaikan perkara ini.
“Mereka berdua perlu membuat kompromi, saya sudah mencadangkan kompromi itu dan anda tahu, kami banyak membantu perkara ini,” kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval, Washington tanpa memperincikan bentuk kompromi tersebut.
Beberapa bulan rundingan yang diterajui AS gagal membawa kedua-dua pihak hampir kepada persetujuan, dengan perhatian Trump banyak tertumpu kepada perang Iran yang dilancarkan AS dan Israel lebih tiga bulan lalu. – AFP










