PETALING JAYA: Aaron Chia- Soh Wooi Yik dikhabarkan bakal dipisahkan bermula bulan depan, gara-gara prestasi buruk beregu No. 3 dunia itu dalam beberapa kejohanan Jelajah Dunia BWF termasuk yang terbaharu terkandas seawal pusingan kedua Terbuka Indonesia di Jakarta, Indonesia, kelmarin.
Gandingan No. 1 Malaysia itu tewas mengejut kepada beregu muda tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 14-21, 14-21 dalam masa 33 minit di Istora Senayan.
“Saya rasa mungkin mereka masih muda. Mereka bermain tanpa beban. Saya rasa itu kelebihan mereka. Serangan dan pertahanan mereka saya rasa agak konsisten,” kata Aaron selepas kekalahan di tangan beregu No. 12 dunia itu.
Bibit-bibit kemerosotan Aaron-Wooi Yik telah mula kelihatan selepas gagal pertahan gelaran Asia pada April lalu di Ningbo, China dan prestasi mereka semakin merudum pada Piala Thomas, bulan lepas.
Malah, penyertaan mereka pada Malaysia Masters juga hanya sampai di separuh akhir, walaupun diletakkan sebagai pilihan pertama dan Aaron-Wooi Yik turut gagal mempertahankan gelaran Terbuka Singapura selepas terkandas di suku akhir, minggu lalu.
Justeru, seandainya barisan kejurulatihan mengambil risiko memecahkan beregu itu dapat difahami apabila Terbuka Jepun yang bermula 14-19 Julai depan, bakal menjadi penampilan sulung kedua-dua pemain itu bersama pasangan baharu.
Berdasarkan senarai daftar pemain untuk kejohanan itu, Aaron akan digandingkan dengan Tee Kai Wun, manakala, Wooi Yik pula dipasangkan bersama Man Wei Chong.
Ini bermakna beregu No. 6 dunia, Wei Chong-Kai Wun yang kini disisihkan daripada sebarang kejohanan akibat kecederaan turut dipisahkan.
Apa yang menjadi persoalan kini, sejauh mana keberkesanan keputusan yang dibuat barisan kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu memandangkan kelayakan Sukan Olimpik 2028 akan bermula, tahun depan.
Untuk makluman, hanya lapan beregu terbaik yang akan layak secara automatik ke temasya terbesar di dunia itu di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Selain kelayakan Olimpik, beregu pecah ganding itu juga akan mengharungi Kejohanan Dunia di India (17-23 Ogos) dan Sukan Asia 2026 di Jepun (9 September-4 Oktober).
Namun begitu, hanya ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi lebih memahami prestasi terkini beregu bimbingannya dan mengapa sedrastik itu keputusan yang sudah tentu diputuskan bersama dengan Rexy Mainaky selaku Pengarah Kejurulatihan Beregu ABM.
Herry Iman Pierngadi sebelum ini ada mengakui, kekalahan Aaron-Wooi Yik disebabkan kelajuan dan kekuatan, selain, corak permainan yang mudah dibaca lawan dan beregu itu juga beraksi di bawah tekanan.










