14 sekatan jalan raya kekal di Johor - Utusan Malaysia

14 sekatan jalan raya kekal di Johor

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 14 sekatan jalan raya di negeri ini akan terus dikekalkan biarpun Johor sudah mengalami peralihan Fasa 3 kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, SJR itu juga dikekalkan bagi pengoperasian Op Benteng yang dibuat di beberapa lokasi terpilih di sekitar negeri ini.

Katanya, 14 SJR itu adalah bertujuan untuk pemantauan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diadakan secara bersepadu dengan beberapa agensi penguatkuasaan lain.

“Kita masih mengekalkan SJR yang berkaitan dengan Op Benteng sahaja iaitu sebanyak 14 SJR di lokasi yang ditetapkan. 

“Bagi SJR yang ditempatkan di kawasan sempadan sebelum ini sudah tidak ada, kita sudah tarik balik,” katanya di sini hari ini. 

Jumaat lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dua negeri iaitu Johor dan Terengganu beralih dari Fasa 3 ke Fasa 4 PPN bermula Isnin.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dipersetujui Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, mengenai tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, Ayob Khan berkata, hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati tahap pematuhan semakin baik.

“Pemeriksaan mengejut yang dilakukan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Machap di Lebuhraya Utara Selatan bagi arah Selatan dan Utara baru-baru ini mendapati pematuhan di tahap yang baik.

“Majoriti pengguna jalan raya yang berhenti di kawasan itu patuh SOP ditetapkan. Semakan aplikasi MySejahtera juga mendapati mereka membuat imbasan dan lengkap divaksin,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya