KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Remy Ishak mendedahkan pernah melalui fasa sukar apabila sepi daripada menerima tawaran lakonan tanpa mengetahui punca sebenar.
Menurut Remy atau Mohammad Zalimei Ishak, 44, dia tidak menafikan kemungkinan wujud pihak tertentu yang cuba mengetepikan namanya dalam industri, namun menganggap perkara itu sebagai lumrah dalam kehidupan anak seni.
“Sudah lama saya tidak menjalani penggambaran kerana orang fikir saya sudah tidak mahu berlakon. Sedangkan ketika itu saya memang tiada kerja dan tidak tahu kenapa.
“Alhamdulillah, tahun ini banyak filem saya ditayangkan, antaranya Mikael: Pemburu Dua Alam.
“Sebelum ini, semua orang ingat saya hilang. Saya sendiri tidak tahu kenapa nama saya seperti ‘ditanam’.
“Tetapi inilah permainan dan perniagaan. Bagi saya, orang baik memang selalu dipijak,” katanya.
Remy berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem Khadam di Mid Valley Megamall, di sini, semalam.
Bagaimanapun, Remy memilih untuk terus bersikap positif dan percaya rezeki setiap insan telah ditentukan Allah SWT.
“Apapun, saya reda dan percaya jalan hidup saya sudah disediakan. Walau bagaimana sekali pun orang cuba menutup ruang, Allah tetap memberikan peluang.
“Setiap orang ada fasa masing-masing. Saya terima dan bersabar. Saya mungkin terluka, tetapi tidak mengapa.
“Saya percaya pada rezeki. Jika ada yang cuba menutup satu pintu rezeki kita, Allah akan membuka banyak lagi pintu yang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Remy mengakui terkilan dan membandingkan situasi toksik yang dialami tidak pernah berlaku suatu masa dahulu.
“Bagi saya, suasana industri kini sudah berubah. Pada zaman saya dahulu, perkara seperti ini jarang berlaku kerana kami saling membantu antara satu sama lain.
“Namun sekarang, banyak perkara disampaikan dengan cara yang berbeza dan ada juga yang cuba menjatuhkan orang lain,” katanya.
Terdahulu, Remy pernah mendedahkan menerusi sebuah podcast bahawa terdapat individu dalam industri seni yang didakwa mengeluarkannya daripada sebuah projek filem pada saat akhir.
Lebih mengecewakan, Remy ketika itu telah menolak tawaran berlakon dalam sebuah naskhah Hollywood serta beberapa projek dari Indonesia kerana memberi komitmen kepada projek berkenaan. -UTUSAN.










