PETALING JAYA: Malaysia-Jepun memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor tenaga dan kewangan menerusi perjanjian pembekalan gas asli cecair (LNG) jangka panjang serta usaha memperluaskan penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga dua hala.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan syarikat utiliti tenaga Jepun, JERA Co., Inc. (JERA) telah memuktamadkan perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) bagi membekalkan dua juta tan LNG setahun ke Jepun selama 20 tahun bermula 2028.
Katanya, perjanjian itu merupakan satu pencapaian besar yang mencerminkan tahap kepercayaan serta hubungan kerjasama yang erat antara kedua-dua negara.
“Kami baru sahaja memuktamadkan perjanjian jual beli LNG jangka panjang antara Petronas dan JERA untuk membekalkan dua juta tan LNG setahun bagi tempoh 20 tahun bermula 2028.
“Ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa dan kejayaan daripada segi kepercayaan serta kerjasama antara dua negara sahabat yang hebat,” katanya semasa sidang akhbar bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi di Tokyo, Jepun hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia dan Jepun turut memperluaskan kerjasama kewangan menerusi beberapa pengaturan baharu termasuk perjanjian pertukaran mata wang dua hala.
Beliau berkata, antara perkara yang diberi perhatian ialah usaha memperluaskan transaksi menggunakan ringgit dan yen bagi mengukuhkan hubungan ekonomi serta perdagangan antara kedua-dua negara.
Katanya, penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga dua hala mampu mengurangkan kebergantungan kepada mata wang pihak ketiga selain meningkatkan daya tahan ekonomi Malaysia dan Jepun.
“Perkara yang sangat penting dan dekat di hati saya ialah memperluaskan transaksi mata wang tempatan menggunakan ringgit dan yen supaya kita dapat meningkatkan kebergantungan antara satu sama lain.
“Saya juga amat gembira mendengar persetujuan dan persefahaman yang dicapai antara Bank Negara Malaysia dan Bank of Japan mengenai perkara ini,” katanya.
Menurut Anwar, perkembangan itu mencerminkan kesediaan kedua-dua negara untuk terus memperluaskan kerjasama dalam bidang strategik yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi masing-masing.
Pada masa sama, beliau turut menyifatkan kerjasama dalam sektor tenaga dan kewangan itu sebagai bukti hubungan Malaysia dan Jepun terus berkembang kukuh di bawah Kerjasama Strategik Komprehensif yang dipersetujui kedua-dua negara. – UTUSAN







