Malaysia-Australia jamin saling menyokong bekalan tenaga

Malaysia-Australia jamin saling menyokong bekalan tenaga

ANWAR Ibrahim dan Anthony Albanese dalam sidang akhbar bersama ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Australia ke Malaysia di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Australia menyatakan komitmen saling menyokong dalam bekalan sumber tenaga, termasuk bahan api dan gas asli cecair (LNG), ketika pasaran tenaga global berdepan tekanan hebat, susulan gangguan rantaian bekalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara berkongsi hubungan saling bergantung yang kukuh dalam sumber tenaga termasuk bahan api dan LNG, selain mempunyai perjanjian sedia ada yang terus diperkukuh.

Anwar berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bersama Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) untuk melihat keperluan tenaga domestik Malaysia dan Australia dan mengenal pasti bagaimana boleh saling membantu atas dasar timbal balas.

“Kita turut menandatangani Kenyataan Bersama mengenai keselamatan tenaga yang mencerminkan komitmen untuk memastikan bekalan tenaga yang stabil dan berdaya tahan.

“Saya telah menyatakan kepada Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan ingin saya ulangi secara terbuka bahawa Malaysia akan sentiasa menjadi rakan yang boleh dipercayai kepada Australia serta akan bersama dalam susah dan senang,” katanya dalam sidang akhbar bersama ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Australia ke Malaysia di Kompleks Perdana Putra di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Albanese berkata, kerjasama ini memberi manfaat kepada kedua-dua negara yang mana Australia merupakan pengeksport utama LNG ke Malaysia dan pada masa sama, pihaknya menerima pelbagai produk dari Malaysia termasuk bahan api dan baja.

“Kami telah menugaskan Petronas serta kementerian saya untuk meneruskan usaha lanjut bagi menangani cabaran besar yang dihadapi kedua-dua negara ketika ini, sebagaimana juga yang berlaku di seluruh dunia.

“Australia amat yakin akan terus memenuhi kontrak sedia ada dengan Malaysia kerana kami melihat jaminan bekalan ini sebagai sesuatu yang sangat penting dalam hubungan serantau,” katanya.

Albanese berkata, sumber Australia membantu menjana tenaga di rantau ini manakala sektor pertanian pula menyumbang kepada bekalan makanan serantau.

Menurutnya, hampir 60 peratus bekalan gandum Malaysia serta 75 peratus daging kambing dan lembu di negara ini diperoleh dari Australia.

“Pada masa sama, negara jiran memahami bahawa pembekalan bahan api dan baja kepada Australia turut membantu memastikan bekalan makanan di rantau ini kekal mencukupi.

“Kita saling bergantung antara satu sama lain dalam sumber tenaga termasuk petroleum mentah dan gas asli, selain baja urea dari Malaysia yang membantu Australia menghasilkan tanaman seperti gandum yang kemudiannya dibekalkan ke sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×