KUALA TERENGGANU: Kira-kira 10,000 orang menyertai acara larian di samping meraikan sarapan berkhasiat, gaya hidup aktif dan semangat kemasyarakatan sempena MILO® Malaysia Breakfast Day 2026 di Jambatan Angkat, di sini, baru-baru ini.
Terengganu menjadi persinggahan kedua program itu dalam siri jelajah nasionalnya tahun ini selepas Sabah dan seterusnya ke Kuantan (Pahang), Kelantan serta Sarawak sebelum menutup tirainya dengan acara kemuncak di Putrajaya pada 12 Julai ini.
Di Terengganu, acara ini menjadi lebih istimewa apabila MILO® berganding bahu dengan Temasya Budaya Terengganu untuk mencipta sambutan unik yang menggabungkan budaya, seni dan gaya hidup aktif.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat, berkata, MILO® Malaysia Breakfast Day menekankan kepentingan memulakan hari dengan sarapan yang seimbang dan berkhasiat.
Malah katanya, ia menggalakkan masyarakat mengamalkan aktiviti fizikal secara konsisten sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian mereka.
“Kami percaya usaha ini dapat menyumbang kepada kesejahteraan menyeluruh di samping memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, inisiatif komuniti seumpama itu telah lama dilaksanakan menerusi MILO® Malaysia Breakfast Day seterusnya mencerminkan usaha berterusan dalam menyatukan masyarakat melalui program yang bermakna dan inklusif.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengetengahkan kekayaan serta identiti budaya Terengganu malah menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif di samping memupuk semangat perpaduan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Seorang peserta. Muhammad Yusuf Azfi, 24, berkata, ia kali pertama dia menyertainya dan teruja menjadi sebahagian daripada acara yang mempromosikan gaya hidup sihat selari dengan elemen budaya dan warisan.
“Pengalaman ini sangat bermakna kerana berpeluang berlari di sepanjang Jambatan Angkat yang ikonik sambil menggayakan aksesori budaya yang mencerminkan identiti tempatan.
“Ia adalah acara yang unik untuk meraikan gaya hidup aktif dan budaya pada masa yang sama, sekali gus menjadikan acara ini lebih bermakna dan sukar dilupakan,” katanya.
Selain larian santai sejauh tiga kilometer, program berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti cabaran kecergasan dan permainan interaktif yang menggalakkan penglibatan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan. – UTUSAN










