Warga emas tabah jaga anak terlantar sakit pendarahan di kepala

Warga emas tabah jaga anak terlantar

HASANAH Mahamud Yusoff bersama anaknya, Mohd. Hamidi Khairudeen yang terlantar sakit selepas pembedahan kepala di rumah Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Sejak anak dalam kandungan selama sembilan bulan, dilahirkan dan sehinggalah dewasa, kasih sayang ibu tidak pernah terhakis walaupun dihimpit kepayahan serta kesusahan hidup.

Begitulah yang ditempuh oleh warga emas, Hasanah Mahamud Yusoff, 64, apabila menjaga anaknya, Mohd. Hamidi Khairudeen, 48, yang terlantar sakit berpunca pendarahan dalam kepala.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hasanah berkata, Mohd. Hamidi merupakan anak sulung daripada enam beradik itu pada mulanya kerap meracau dan meronta di rumah lalu dihantar untuk pemeriksaan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dekat sini.

“Selepas itu, anak saya dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan pakar dan kemudiannya menjalani pembedahan kali pertama pada 8 Ogos lalu.

“Susulan penyakit bahagian dalam kepala agak serius, dia (Mohd. Hamidi) dibedah kali kedua di hospital sama pada 11 Ogos lalu, kemudian disusuli pembedahan bahagian kerongkong, malah, keadaan sakitnya masih tidak berubah sehingga kini,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, di sini semalam.

Menurut Hasanah, dia dimaklumkan oleh pihak hospital tersebut, anaknya mengalami pendarahan dalam kepala kerana salah satu saluran (darah) telah pecah dan memerlukan rawatan susulan.

“Setelah menjalani pembedahan di HTAA, anak saya dibawa pulang ke rumah dan cuma akan mendapat rawatan susulan di Hoshas dalam bulan ini, tetapi, keadaan penyakitnya tidak nampak berubah,” katanya.

Menurutnya, selepas menjalani tiga kali pembedahan di HTAA serta dirawat selama tiga minggu sebelum pulang ke rumah, kini, Mohd. Hamidi hanya mampu terlantar di katil dan diberi minum susu khas menggunakan saluran menerusi hidungnya.

“Tekanan akibat kesakitan yang dialaminya. menyebabkan Mohd. Hamidi kerap meracau dan meronta apabila dia sedar dari tidur sehinggalah membimbangkan kami sekeluarga,” kata Hasanah yang turut dibantu anak perempuannya, Juliyana menjaga Mohd. Hamidi secara bergilir-gilir.

Katanya, Mohd. Hamidi yang merupakan duda anak seorang ketika sihat sebelum ini merupakan harapan keluarga kerana banyak membantu bapa, Khairudeen Ismail, 76, menguruskan ladang sawit di Felda Kota Gelanggi Dua.

Sementara itu, Juliyana berkata, dia dan ibunya membelanjakan hampir RM2,000 sebulan untuk keperluan abangnya seperti susu, lampin pakai buang termasuk menyewa ambulans ke HTAA dan Hoshas.

Menurutnya, abangnya masih tidak menerima sumbangan daripada mana-mana pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Orang ramai dan para dermawan yang ingin beramal jariah untuk memberikan sumbangan boleh menghubungi Juliyana menerusi talian 0139978993 atau terus ke akaun Maybank bernombor 156141542153 (Juliyana). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN