Runding bawa pulang Malbatt bidang kuasa Kementerian Luar - Utusan Malaysia

Runding bawa pulang Malbatt bidang kuasa Kementerian Luar

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang run­dingan melibatkan Kerajaan Ma­laysia dengan Pertubuhan Bang­sa-bangsa Bersatu (PBB) bagi membawa pulang Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 dari Lubnan diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Luar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rundingan formal dan proses melibatkan aspek diplomatik itu terletak di bawah bidang kuasa Wisma Putra.

“Sebarang usaha untuk me­ngadakan rundingan dengan PBB bagi membawa pulang anggota Malbatt 850-13 itu terserah kepada Kementerian Luar,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, PBB memaklumkan, dua anggotanya terbunuh pada Isnin lalu melibatkan insiden kedua dalam tempoh 24 jam di Selatan Lubnan, ketika Israel dan Hizbollah sedang ber­tempur.

Pasukan pengaman Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) berkata, anggota pengaman dari Indonesia terbunuh apabila letupan daripada punca tidak diketahui memusnahkan ken­deraan mereka.

FAFA Nur Aziila (berlutut, dua dari kiri), balu kepada Farizal Rhomadhon menangis di pusara suaminya di Taman Makam Pahlawan Giripeni di Kulon Progo, Yogyakarta, Indonesia semalam. – AFP

Dalam pada itu, Malaysia me­ngecam keras serangan berterusan terhadap pasukan pengaman UNIFIL yang merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.

Wisma Putra dalam kenyata­an berkata, Malaysia mengecam insiden terbaharu pada 3 April lalu di El Addaiseh yang menyebabkan tiga anggota pengaman dari Indonesia terbunuh.

Katanya, serangan terhadap anggota PBB bukan sahaja me­ngancam keselamatan, malah telah mengakibatkan kematian dan kecederaan dalam kala­ngan petugas misi antarabangsa.

Malaysia menggesa semua pihak memastikan keselamatan penuh anggota pengaman serta menghormati prinsip ba­hawa misi PBB adalah tidak boleh diganggu gugat.

Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan tegas bagi menjamin perlindungan segera kepada pasukan pengaman dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Sementara itu, tiga anggota pengaman Indonesia yang terkorban selamat dikebumikan di kampung halaman masing-masing, semalam.

Farizal Rhomadhon, 28, maut selepas satu projektil meletup manakala Zulmi Aditya Iskandar, 33, dan Muhammad Nur Ichwan, 26, meninggal dunia dalam satu letupan yang mengenai konvoi logistik UNIFIL. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN