Utamakan pelaksanaan Undi18 - Wan Ahmad Wan Omar

Utamakan pelaksanaan Undi18, pendaftaran automatik kemudiankan jika ada kekangan

WAN AHMAD WAN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh melaksanakan Undi18 terlebih dahulu selewat-lewatnya hujung tahun ini jika mempunyai kekangan untuk diadakan serentak dengan pelaksanaan pendaftaran undi automatik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, ini kerana persediaan pendaftaran automatik dilihat amat mencabar bagi menyediakan sistem dalam talian melibatkan pangkalan data yang perlu diperoleh dari pelbagai pihak.

Beliau berkata, apa yang lebih utama, hak mengundi warganegara berusia 18 tahun boleh mendaftar memandangkan pindaan Perlembagaan sudah diluluskan selain sudah diarahkan pihak mahkamah sekali gus mereka berpeluang dan berkesempatan untuk menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Jika sekalipun sistem pendaftaran automatik belum siap untuk dilaksanakan atas sebab teknikal dan penyediaan prasarana teknologi maklumat (IT), mereka perlu dibenarkan untuk mendaftar secara manual dari sekarang seperti rakyat 21 tahun ke atas yang lain.

“Sekiranya pendaftaran dibuka kepada golongan itu dari sekarang, besar kemungkinan nama mereka akan sempat disahkan dalam Daftar Pemilih untuk pilihan raya,” katanya di sini semalam.

Menurut Wan Ahmad, jika SPR mempunyai kekangan untuk melaksanakan Undi18 ekoran pindaaan Perlembagaan yang diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada 2019 itu adalah bersekali dengan pendaftaran automatik, maka kerajaan perlu terlebih dahulu membatalkan keputusan pindaan itu.

Katanya, ia sekali gus membolehkan Undi18 dilaksanakan berasingan dan berjalan dahulu sebelum membolehkan pendaftaran automatik dibuat.

Bagaimanapun, beliau percaya, SPR mempunyai keupayaan menyediakan prasarana sistem online bagi pelaksanaan pendaftaran automatik walaupun ia agak rumit dan memerlukan masa lebih panjang.

Ini kerana katanya, langkah itu bukan sahaja melibatkan SPR dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung pengkalan data warganegara, sistem semakan online juga melibatkan Jabatan rekod di Kementerian Pertahanan bagi anggota tentera termasuk Polis Diraja Malaysia bagi anggota polis.

“Ada juga beberapa lagi jabatan lain yang perlu ada sistem akses dengan SPR untuk semakan segera seperti status kelayakan setiap warganegara contohnya Jabatan Hal Ehwal Undang-undang bagi senarai yang dijatuhkan hukuman lebih satu tahun dan denda melebihi RM2,000 yang mana hilang kelayakan sebagai pengundi.

“Begitu juga Jabatan Penjara, bagi yang menjalani hukuman lebih satu tahun. Selain itu, semakan online juga perlu ada dengan Kementerian Kesihatan bagi mereka yang mempunyai sakit mental untuk menyemak warganegara yang tidak siuman kerana mengikut Perkara 119(3) menetapkan syarat-syarat kelayakan warganegara didaftar sebagai pemilih,” katanya.

SPR semalam memaklumkan bahawa mereka menghormati keputusan (Semakan Kehakiman) yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak berhubung pelaksanaan Undi18 termasuk soal pendaftaran pemilih automatik bagi rakyat yang belum pernah berdaftar sebagai pemilih.

Namun, sebarang tindakan susulan SPR akan dimaklumkan kelak selepas Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu dalam keputusannya mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Undi18 selewat-lewatnya pada 31 Disember ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew membenarkan permohonan yang difailkan lima belia Sarawak untuk mencabar keputusan kerajaan terdahulu yang tidak melaksanakan pindaan Undi18 pada Julai.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang akhbarnya di Putrajaya semalam mengarahkan SPR agar terus mempercepatkan proses itu seawal-awalnya pada Januari tahun depan.

Dengan pelaksanaan itu, dijangka seramai 5.6 juta rakyat Malaysia termasuk yang belum mendaftar sebagai pengundi akan berpeluang menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jumlah itu meliputi 1.2 juta remaja sudah berusia 18 tahun sehingga 21 tahun selain 4.4 juta lagi individu berumur 21 tahun ke atas yang langsung tidak pernah mendaftar.

Mengikut rekod, Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN