Undi18: Kemenangan buat rakyat Malaysia - Utusan Malaysia

Undi18: Kemenangan buat rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Komitmen Kerajaan Malaysia untuk tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memutuskan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik perlu dilaksanakan menjelang 31 Disember ini merupakan kemenangan buat rakyat Malaysia.

Persatuan Pengundi Muda (Undi18) dalam kenyataan menyokong komitmen kerajaan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi itu seperti yang dijamin oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di dalam Dewan Rakyat pada semalam.

“Keputusan ini menandakan era baharu dalam perjalanan Undi 18 untuk pemerkasaan demokratik anak muda yang bermula dengan pindaan Perlembagaan pada Julai 2019 dan dilanjutkan dengan dua tuntutan mahkamah pada 2021 terhadap Perdana Menteri, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Kuching.

 

“Ia adalah untuk memastikan pelaksanaan penurunan umur pengundian dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan memutuskan untuk tidak membuat rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memutuskan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik perlu dilaksanakan menjelang 31 Disember tahun ini.

Katanya, keputusan tersebut dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 10 September lalu.

Dalam pada itu, Undi18 menyambut baik keputusan Jemaah Menteri yang memutuskan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dan menyifatkan hak untuk mengundi adalah hak asasi manusia.

Kata kenyataan itu, ia perlu dipastikan bahawa rakyat Malaysia di mana sahaja akan dapat mengakses dan mengundi semasa pilihan raya.

“Pendaftaran pengundian secara automatik dan Undi18 akan menjadi pengubah dalam politik Malaysia, dan kami tidak sabar untuk melihat anak muda Malaysia mengundi dalam pilihan raya akan datang.

“Ia bukan sahaja kemenangan untuk demokrasi, tetapi juga peraturan undang-undang dan Perlembagaan. Keputusan kerajaan untuk tidak merayu menegaskan kembali kewajiban badan Eksekutif untuk menguatkuasakan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen secepat mungkin, lebih-lebih lagi ketika telah berulang kali berjanji untuk melakukannya pada tarikh tertentu. 

“Kami menantikan penambahan sekitar lima juta pengundi kepada senarai pendaftaran pemilih dengan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik pada akhir tahun,” kata kenyataan itu lagi.

Undi18 kemudian mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam antaranya terdiri daripada Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Lim Wei Jiet di atas penglibatan mereka dalam menjayakan semakan kehakiman untuk anak muda Undi18. 

“Kami juga ingin memberi perhatian ke atas keberanian 23 anak muda Malaysia terlibat di bawah Undi18 yang tidak berputus asa dalam memperjuangkan hak Perlembagaan iaitu untuk mengundi bukan hanya untuk mereka sendiri tetapi demi semua rakyat Malaysia,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN