Pas nafi sokong Hamzah kekal ketua pembangkang

Pas nafi sokong Hamzah kekal ketua pembangkang

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas menolak dakwaan bahawa parti itu mahu Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat kerana masih belum mengumumkan calon penggantinya sehingga kini.

Sebaliknya, parti itu kekal dengan pendiriannya untuk mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang namun akan mengumumkannya tak lama lagi.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas telah tegaskan pendiriannya sebelum ini bahawa jawatan Ketua Pembangkang akan diambil alih oleh parti tersebut.

Katanya, pengganti kepada Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) itu akan diumumkan menjelang Sidang Dewan Rakyat akan datang.

“Kita telah tegaskan Pas akan ambil alih (jawatan) Ketua Pembangkang, dan akan diumum menjelang sidang Dewan Rakyat akan datang,” ringkasnya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Ketika ditanya sama ada Pas sudah mempunyai calon untuk menjadi Ketua Pembangkang, Tuan Ibrahim berkata, parti itu sudah calon pengganti.

“Calon ada. Tidak ada masalah mengenai calon,” ringkasnya.

Pada 14 Mac lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan bahawa gabungan itu memutuskan melantik seorang Ahli Parlimen daripada Pas untuk mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Ini susulan, Hamzah kini bukan lagi mewakili Bersatu setelah dipecat pada 13 Februari lalu daripada partinya.

Bagaimanapun, dalam pengumuman itu, Ahmad Samsuri memaklumkan bahawa Pas akan mengumumkan nama pengganti Hamzah sebelum akhir Mac namun sehingga kini parti itu masih belum berbuat demikian.

Kelmarin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pelantikan Ketua Pembangkang masih belum diputuskan dan akan dibincangkan secara menyeluruh serta kolektif dalam kalangan parti komponen PN.

Katanya, tempoh untuk membuat keputusan itu masih panjang memandangkan sidang Parlimen hanya berlangsung pada Jun depan.

“Soal Ketua Pembangkang akan dibincangkan bersama semua pihak dalam PN kerana ia membabitkan semua parti komponen dan Ahli Parlimen pembangkang.

“PN bukan hanya ada Pas walaupun kita parti terbesar dalam gabungan ini, tetapi Pas tetap mengambil kira pandangan parti lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN