MUKADIMAH
Dakwaan wujud dua kem dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kembali menjadi tanda tanya susulan kenyataan berbeza dan serangan berterusan pemimpin dalam parti, termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli. Persepsi ini menimbulkan persoalan tentang tahap kesepaduan dalaman parti, khususnya dalam konteks PKR sebagai tunjang penting dalam Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, DATUK SERI R. RAMANAN menolak naratif kewujudan dua kem dalam PKR, sebaliknya menegaskan parti itu kekal bergerak sebagai satu pasukan di bawah kepemimpinan presiden. Penekanan terhadap disiplin parti, saluran dalaman dan tanggungjawab kolektif menjadi asas dalam memastikan setiap perbezaan dapat diurus secara berhemah tanpa menjejaskan kestabilan parti dan keyakinan rakyat.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL, Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh itu menegaskan, perbezaan pandangan tidak wajar ditafsirkan sebagai perpecahan. Menurut beliau, dalam sebuah parti yang matang dan demokratik, perbezaan pendapat perkara biasa, malah mencerminkan kepelbagaian idea yang boleh memperkukuh dasar serta hala tuju parti.
PANDANGAN BEZA SATU KEKUATAN
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana PKR memastikan bahawa perbezaan pandangan antara pemimpin terutama dalam parti sendiri tidak menjejaskan keyakinan penyokong dan rakan komponen dalam kerajaan perpaduan?
Dalam mana-mana parti politik yang matang dan demokratik, perbezaan pandangan adalah perkara biasa tetapi kita ada saluran rasmi bersesuaian untuk menyampaikan pandangan berbeza itu.
Dalam PKR, kita melihatnya sebagai kekuatan, bukan kelemahan, kerana ini mencerminkan kepelbagaian idea dan komitmen anggota parti untuk memperbaiki dasar serta hala tuju parti.
Namun, yang penting ialah bagaimana perbezaan ini diuruskan. PKR mempunyai saluran dalaman yang jelas dan berstruktur untuk membincangkan sebarang isu secara berhemah dan bertanggungjawab.
Kita menekankan disiplin parti serta prinsip tanggungjawab kolektif dalam setiap keputusan yang dibuat.
Dari sudut yang lebih besar, fokus utama kita kekal kepada kestabilan Kerajaan Madani dan kesejahteraan rakyat di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Segala pandangan berbeza tidak akan mengalihkan komitmen kita untuk konsisten memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
TIADA PERPECAHAN
Kenyataan berbeza dan menentang oleh Datuk Seri Rafizi Ramli seolah mencetuskan persepsi bahawa PKR mempunyai dua kem? Komen Datuk Seri?
Perbezaan pandangan itu biasa dalam parti politik. Saya tidak melihatnya sebagai dua kem. Hanya ada satu pasukan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parti Keadilan Rakyat ini.
Dalam parti yang besar dan dinamik, perbezaan pandangan itu adalah perkara biasa, berlaku juga dalam parti lain yang kita lihat, namun ia tidak bermaksud wujud perpecahan dalam PKR. Yang penting, kita mempunyai kepemimpinan yang jelas, struktur parti yang kukuh, dan semua pimpinan terikat kepada prinsip disiplin serta tanggungjawab kolektif.
Setiap perbezaan akan dibincangkan melalui saluran dalaman, dan akhirnya kita bergerak sebagai satu pasukan.
PKR hari ini kekal fokus kepada agenda reformasi, kestabilan Kerajaan Perpaduan dan kebajikan rakyat. Itu yang menjadi keutamaan kita bukan melayan persepsi dari individu tidak bertanggungjawab yang cuba memecah-belahkan perpaduan parti.
Yang penting, kita urus secara dalaman dan kekal bersatu dalam tindakan. Fokus kita tetap kestabilan kerajaan dan kepentingan rakyat.
KEPUTUSAN DEMI RAKYAT
Datuk Seri, adakah perlu disegerakan perbincangan mengenai bentuk kerjasama Kerajaan Madani dalam menghadapi PRU16, seperti dicadang oleh DAP?
Pada pandangan saya, keutamaan ketika ini adalah memastikan Kerajaan Madani terus memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
Isu berkaitan bentuk kerjasama menghadapi PRU-16 sememangnya penting, namun ia perlu dibincangkan secara menyeluruh dan pada waktu yang sesuai. Saya melihat kebersamaan serta perpaduan yang erat antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Contohnya, program Ziarah Madani Ihya Ramadan di Parlimen Sungai Buloh membuktikan kerjasama erat antara UMNO-BN dan PKR-PH di peringkat akar umbi.
Di Sungai Buloh, saya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua rakan komponen. Mana-mana pihak yang memohon bantuan akan saya temui, dengar dan teliti sebaiknya, kerana keutamaan kita adalah memastikan setiap usaha tersebut memberi manfaat terus kepada rakyat Sungai Buloh.
Apa jua cadangan daripada rakan-rakan dalam Pakatan Harapan mahupun Kerajaan Perpaduan akan kita ambil secara terbuka dan dibincangkan melalui saluran kepimpinan yang sewajarnya.
Yang penting, sebarang keputusan mesti berasaskan kepentingan rakyat, kestabilan politik dan kesinambungan dasar bukan pertimbangan politik jangka pendek.
100 HARI JADI MENTERI
Selepas 100 hari memegang portfolio menteri di KESUMA, boleh Datuk Seri ulas mengenai kejayaan cabaran dan tumpuan selepas ini?
Dalam tempoh 100 hari pertama ini, kita telah memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama yang menjadi asas kepada pengukuhan ekosistem tenaga kerja negara.
Daripada segi keselamatan dan perlindungan, KESUMA telah melaksanakan inisiatif seperti Safety Induction for Tourism Industry (SITI) yang memberi latihan keselamatan secara percuma kepada kira-kira 10,000 pemain industri pelancongan.
Kita juga memperkenalkan OSH Coordinator melibatkan 3,000 perusahaan kecil dan sederhana bagi memperkukuh pengurusan keselamatan di tempat kerja, di samping merangka Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026 hingga 2030.
Selain itu, melalui Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK), perlindungan PERKESO kini diperluas secara 24 jam termasuk di luar waktu bekerja.
Dalam aspek kemahiran dan TVET, kita melihat pencapaian yang memberangsangkan dengan kadar kebolehpasaran graduan ADTEC JTM mencecah 95.5 peratus. Program kursus jangka pendek pula telah melibatkan lebih 90,000 peserta dalam usaha upskilling dan reskilling. Kita juga telah menjalin 148 kerjasama strategik bersama industri serta melibatkan lebih 23,000 pelajar TVET bagi memastikan bakat yang dilahirkan benar-benar memenuhi keperluan pasaran.
Dari sudut pendigitalan dan masa depan pekerjaan, KESUMA telah memperkenalkan MYFutureJobs Career Exploration Centre berasaskan teknologi kecerdasan buatan bagi meningkatkan padanan pekerjaan.
Program Jelajah AI MyMahir turut dilaksanakan untuk memperluas literasi AI dalam kalangan rakyat. Selain itu, penggunaan Sistem Perekodan Digital dengan AiX membolehkan penjanaan transkrip secara masa nyata, sekali gus meningkatkan ketelusan dan kecekapan, manakala perkhidmatan PERKESO terus diperkasa ke arah pendigitalan menyeluruh.
Kita juga tidak mengetepikan aspek inklusiviti dan kesejahteraan. Program Kemahiran Vetri MADANI diperkenalkan bagi menyediakan latihan kemahiran percuma kepada komuniti B40 India. Dana Latihan GIG pula membantu meningkatkan mobiliti dan pendapatan pekerja gig.
Di samping itu, kerjasama antara PERKESO, PERHEBAT dan JHEV ATM memberi sokongan kepada peralihan kerjaya veteran ATM, manakala Portal Aduan Buruh Sabah mempercepatkan proses siasatan dan penyelesaian aduan secara lebih sistematik.
Daripada segi reformasi dan tadbir urus, pindaan kepada Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 telah dilaksanakan bagi memperluas akses pembiayaan latihan.
Kita juga memberi penekanan kepada pemerkasaan HRD Corp daripada aspek integriti dan ketelusan, selain memperkenalkan Geran Padanan Latihan Industri Kecil dan Sederhana (LiKES) bagi mempercepatkan kelulusan latihan.
Inisiatif seperti Development of Industrial Relations Expertise (DIREX) turut dilaksanakan untuk memastikan keharmonian perhubungan perusahaan terus terpelihara.
Secara keseluruhannya, 100 hari ini asas kepada perubahan yang lebih besar. Fokus kita selepas ini adalah untuk memastikan semua inisiatif ini dapat diterjemahkan kepada impak yang nyata kepada rakyat, khususnya dalam meningkatkan kualiti pekerjaan dan kesejahteraan tenaga kerja negara.
Adakah sebarang skim perlindungan sosial baharu yang sedang diusahakan KESUMA bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat?
Bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir daripada jaringan keselamatan sosial, KESUMA mencadangkan perluasan liputan melalui inisiatif LINDUNG Kendiri, termasuk cadangan perlindungan khusus kepada warganegara yang bekerja di luar negara.
Cadangan mewujudkan skim perlindungan bagi pekerja Malaysia di luar negara ini telah mula saya suarakan pada Disember tahun lalu, dengan tumpuan awal kepada golongan pekerja berulang-alik antara Malaysia dan Singapura.
Terbaharu, pada 28 Mac lepas, saya telah mengumumkan bahawa cadangan ini kini berada di peringkat akhir untuk dibentangkan kepada Kabinet selepas kajian menyeluruh disempurnakan.
Pendekatan ini bersifat proaktif memandangkan 1.6 Juta rakyat Malaysia kini berada di Singapura, dengan lebih 500,000 daripadanya berulang-alik merentas sempadan setiap hari.
Perundangan sedia ada pada masa ini masih belum meliputi sepenuhnya pekerja Malaysia yang berkhidmat dengan majikan asing di luar negara. Justeru, cadangan ini bertujuan menutup jurang perlindungan tersebut.
Melalui inisiatif ini, pekerja Malaysia di luar negara dicadangkan untuk mendapat akses kepada perlindungan bencana pekerjaan dan penyakit pekerjaan, sekali gus memperkukuh ekosistem keselamatan sosial negara yang lebih inklusif dan mampan.
ELAUN BANTUAN CUTI BERSALIN
Bagaimana dengan perlindungan sosial kepada ibu bersalin, adakah usaha akan dilaksanakan terutama membabitkan soal cuti bersalin?
Dalam usaha memperkasakan wanita dalam pasaran buruh, KESUMA sedang meneliti cadangan pengenalan Elaun Bantuan Cuti Bersalin (EBCB) di bawah Akta 800 (Sistem Insurans Pekerjaan).
Inisiatif ini dicadangkan sebagai langkah intervensi bagi menangani trend pengunduran kerjaya (career exit) dalam kalangan wanita akibat komitmen bersalin.
Dianggarkan seramai 132,400 pekerja wanita bakal mendapat manfaat ini, yang secara langsung menyokong agenda Ekonomi MADANI dalam mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih saksama dan seimbang antara kebajikan pekerja serta kelangsungan industri.
Mekanisme baharu ini sedang diperhalusi oleh PERKESO agar ibu yang memerlukan masa tambahan singkat untuk pulih atau menguruskan anak, sejurus selepas tamat tempoh cuti bersalin dapat dibantu dan tidak membebankan majikan. Langkah ini sekali gus dapat mengekalkan kedudukan pekerja tersebut dalam organisasi.
Apakah langkah dan tindakan diambil dalam menangani majikan yang melanggar Akta Kerja 1955, penindasan terhadap pekerja, tidak membayar gaji termasuk kerja lebih masa pekerja , tidak membuat caruman PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia akan membuka kertas siasatan majikan yang membuat pelanggaran undang-undang perburuhan di bawah Akta Kerja 1955 bagi tindakan pendakwaan dan kompaun. Jika sabit kesalahan majikan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000.00. Bagi kegagalan majikan mencarum PERKESO dan KWSP, tindakan akan diambil oleh agensi-agensi berkenaan berdasarkan aduan yang difailkan oleh pekerja.
Dalam isu ketidakpadanan bakat, seramai 1.96 juta rakyat Malaysia dilaporkan berada dalam kategori guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran, susulan itu Datuk Seri umum bantuan peruntukan RM5 juta bagi membantu kebolehpasaran graduan, boleh Datuk Seri perincikan tentang itu?
Kerajaan telah memperuntukkan RM5 juta bagi membangunkan ekosistem hala tuju kerjaya yang komprehensif melalui MYFutureJobs Career Exploration Centre (MYCEC) di bawah seliaan PERKESO sebagai langkah strategik menangani isu ketidakpadanan bakat.
Peruntukan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperluas capaian MYCEC secara fizikal dan dalam talian melampaui kawasan Lembah Klang, khususnya dengan menyasarkan institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai titik awal pendedahan realiti pasaran buruh kepada para pelajar.
Melalui inisiatif sebagai hab imersif pertama di Malaysia, MYCEC akan berperanan merapatkan jurang antara bakat graduan dengan keperluan sebenar industri bagi memastikan setiap individu mendapat pekerjaan yang setumpu dengan kemahiran mereka.
Pelaksanaan ini akan diperkasakan bermula suku kedua tahun 2026 yang melibatkan 400 IPT di seluruh negara, sekali gus memperkukuh peranan MYFutureJobs sebagai pemangkin pendigitalan dan inovasi teknologi dalam membantu graduan membuat perancangan kerjaya yang lebih tepat serta berinformasi.
PEKERJA ASING TURUN 6 PERATUS
Berapa jumlah pekerja asing di Malaysia dan adakah kita masih memerlukan ramai pekerja asing di sektor tertentu?
Walaupun pekerja asing membentuk kira-kira 14 peratus daripada jumlah tenaga kerja nasional, penumpuan mereka dalam sektor pembinaan dan perladangan adalah jauh lebih tinggi, sering kali melebihi 70-80 peratus daripada tenaga kerja manual dalam industri spesifik tersebut.
‘Pembekuan’ kuota baharu pada masa ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada sektor-sektor ini beralih ke arah teknologi dan keutamaan pengambilan pekerja tempatan.
Sehingga Februari 2026, jumlah tenaga kerja asing yang aktif di Malaysia adalah 2,110,055 orang (penurunan sebanyak 6.4 peratus berbanding tahun sebelumnya – Februari 2025 (2,255,310). Meskipun dasar mengutamakan pekerja tempatan lama wujud, beberapa sektor kritikal kekal bergantung kepada tenaga kerja asing.
PERKETAT PLKS
Apakah strategi mengurangkan kebergantungan pekerja asing?
Cabaran mengenai kebergantungan kepada pekerja asing kurang mahir mula dikenal pasti dalam tempoh RMK3, 1976-1980, di mana pekerja asing mula bekerja dalam sektor perladangan dan perkilangan, terutamanya sektor getah dan kelapa sawit.
Usaha mengurangkan kebergantungan pekerja asing ini berterusan dalam tempoh RMK13, 2026-2030, antaranya menetapkan dasar pengurangan pekerja asing kepada 10 peratus daripada tenaga kerja secara purata pada 2030 dan kepada lima peratus pada 2035. Kita juga memperketat pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara bagi penggajian pekerja asing, termasuk kriteria kelayakan untuk pertukaran majikan dan sektor halangan untuk berniaga dan penetapan had tahun bekerja yang lebih pendek.
Dalam pada itu, kita melaksanakan Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat (MTLM) pada 2026 iaitu mensyaratkan setiap permohonan pekerja asing untuk melalui rumah penjelasan (clearing house) yang akan diwujudkan bagi memudah cara pemadanan peserta program Akademi Dalam Industri (ADI) untuk memastikan pekerja tempatan diutamakan dalam mengisi kekosongan jawatan.
Menyediakan dana khusus untuk automasi dan mekanisasi daripada kutipan levi tambahan daripada pelaksanaan MTLM. Kita juga memperkenalkan inisiatif bagi menggalakkan majikan menyediakan lebih banyak kemudahan penginapan kepada pekerja tempatan sebagai langkah meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan.
Kita juga mengkaji akta berkaitan penyediaan kemudahan penginapan bagi menjamin kebajikan dan keselamatan pekerja dan meningkatkan produktiviti tenaga kerja tempatan. – Mingguan Malaysia










