‘Siapa ketua pembangkang, sabar sekejap’

‘Siapa ketua pembangkang, sabar sekejap’

AHMAD Samsuri Mokhtar (dua dari kiri) mengetuai konvoi motosikal bersama Menteri Besar SG4 ke Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pelantikan ketua pembangkang masih perlu melalui beberapa proses sebelum keputusan dimuktamadkan dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meminta semua pihak bersabar berhubung pelantikan tersebut.

“Ada beberapa proses yang perlu dilaksanakan dan insya-Allah bersabar sekejap. Kita selesaikan dalam waktu terdekat,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Terengganu, di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, sebarang perbezaan pandangan yang timbul berhubung pelantikan ketua pembangkang bukan satu masalah besar, sebaliknya sebahagian daripada proses membuat keputusan.

“Ia bukan soal perbezaan pendapat, tetapi kita masih mempunyai masa kerana sidang Parlimen hanya berlangsung pada Jun ini,” katanya.

Beliau berkata, tiada tempoh masa khusus ditetapkan bagi pengumuman tersebut bagi mengelak sebarang spekulasi.

“Saya tidak boleh sebut waktu, nanti orang tunggu waktu itu pula. Kita ikut proses dan bila selesai, semua akan dimaklumkan,” katanya.

Jawatan ketua pembangkang masih disandang oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Parto Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sementara itu, dalam perkembangan yang berbeza, Samsuri berkata, kerajaan negeri masih menilai keperluan untuk melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam negeri ini.

Katanya, penilaian tersebut dibuat dengan mengambil kira keadaan semasa di negeri ini yang berbeza berbanding kawasan Lembah Klang.

Katanya, faktor seperti kesesakan lalu-lintas yang memberi kesan kepada penggunaan bahan api tidak begitu ketara di Terengganu.

“Justeru itu, kita menilai semua aspek bersama pihak berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Setakat ini, saya tidak akan memberikan maklumat terperinci mengenai perkara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN