PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan sebuah video tular kononnya dua remaja di Ipoh, Perak meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, siasatan mendapati, kedua-dua remaja itu yang juga pengidap penyakit kronik disahkan meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 dan jangkitan kuman yang teruk serta belum menerima vaksin.
Beliau berkata, kes pertama membabitkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga pelajar Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai.
“Mangsa adalah seorang pesakit kencing manis Jenis 1 yang bergantung kepada rawatan insulin. Mangsa juga dijangkiti Covid-19 dan meninggal pada 18 Ogos lalu iaitu sebelum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) PICK Remaja bermula.
“Bagi kes kedua pula, ia membabitkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di sekolah yang sama dan juga menghidap penyakit Jantung Kongenital.
“Pelajar ini telah dibawa ke Unit Kecemasan hospital akibat jangkitan kuman yang teruk dan disahkan meninggal dunia pada 17 September lalu serta belum menerima vaksin,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, pihaknya juga tidak menerima laporan kematian melibatkan seorang remaja selepas vaksinasi seperti yang dilaporkan di Lahad Datu, Sabah.
Pada masa sama, Noor Azmi berkata, pihaknya turut mengesahkan bahawa dua beradik berusia 16 dan 18 tahun di Ipoh dimasukkan ke sebuah hospital di bandar itu selepas mengalami kesan sampingan akibat suntikan vaksin.
Katanya, remaja berusia 16 tahun bagaimanapun telah dibenarkan keluar dari hospital manakala remaja yang berusia 18 tahun pula masih dalam rawatan dan pemerhatian doktor pakar di hospital tersebut.
“Semakan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NNPRA) bagaimanapun mendapati laporan kesan sampingan kedua beradik itu masih belum diterima,” katanya.
Katanya, KKM ingin menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami kesan sampingan akibat vaksin (AEFI), untuk segera membuat laporan AEFI kepada NPRA.
Jelasnya lagi, penyebaran maklumat yang tidak benar kepada masyarakat adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab dan boleh membantutkan PICK Remaja.
Tambah Noor Azmi, orang awam dinasihatkan supaya mengesahkan dahulu sumber maklumat diterima sebelum berkongsi kepada orang awam.
Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan ibu bapa atau penjaga untuk memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin Comirnaty.
“Ini kerana kesan sampingan selepas vaksinasi boleh berlaku dan kebanyakan kesan adalah kesan ringan,” katanya.
Sebelum ini, seorang aktivis membuat pemakluman umum di saluran media sosial semalam yang mendakwa lima remaja mati selepas disuntik vaksin Covid-19. – UTUSAN