KOTA BHARU: Warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peir Chih, Jalan Long Yunus di sini, cemas selepas sebuah bilik seni lukis di sekolah itu terbakar, hari ini.
Kejadian disedari pengurusan sekolah itu kira-kira pukul 10.20 pagi selepas melihat asap keluar dari bilik berkenaan.
Susulan itu, semua murid, guru dan kakitangan sekolah diarahkan mengosongkan bangunan untuk sementara waktu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zuzuki Safei berkata, tindakan pantas anggotanya sejurus selepas tiba di lokasi kejadian dapat memadam kebakaran yang melibatkan 60 peratus kawasan bilik darjah itu.
Katanya, kebakaran dikawal kira-kira 20 minit kemudian dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 11.22 pagi.
“Siasatan mendapati, bilik itu digunakan untuk mata pelajaran pendidikan seni. Kawasan itu juga menempatkan perabot termasuk meja, almari dan bahan kesenian,” katanya. – UTUSAN










