Kerajaan tambah baik pengurusan pelarian, pemohon suaka

Kerajaan tambah baik pengurusan pelarian, pemohon suaka

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan terus menambah baik pendekatan dalam mengurus isu pelarian dan pemohon suaka menerusi pengukuhan koordinasi antara agensi serta pelaksanaan sistem yang lebih tersusun bagi memastikan keselamatan negara kekal terpelihara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Keselamatan Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikannya pagi tadi.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan turut melibatkan penyertaan pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

“Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh koordinasi antara agensi dan memastikan aspek keselamatan negara terus terpelihara, di samping pengurusan isu ini dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Beliau berkata, pelaksanaan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang bermula 1 Januari 2026 menjadi antara langkah penting ke arah sistem pengurusan yang lebih teratur.

“Inisiatif ini membolehkan pengumpulan data yang lebih jelas dan menyeluruh supaya proses kawal selia dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan terus menambah baik pendekatan sedia ada dari semasa ke semasa bagi memastikan pengurusan isu pelarian dan pemohon suaka lebih jelas, terkawal serta memberi manfaat kepada semua pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN