Pulau Pinang tangani isu pelarian, pemohon suaka ikut ketetapan Persekutuan

Pulau Pinang tangani isu pelarian, pemohon suaka ikut ketetapan Persekutuan

CHOW Kon Yeow ketika ditemui pemberita di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri sentiasa menggunakan pendekatan berbentuk pragmatik, berhemah dan bertanggungjawab dalam menangani isu melibatkan pelarian serta pemohon suaka yang berada di Pulau Pinang selaras dengan dasar dan keputusan yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dalam hal ini, urusan berkaitan kemasukan warga asing, pengiktirafan status pelarian, kawalan sempadan serta penguatkuasaan imigresen adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Oleh itu, kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Arahan MKN No. 23 (Semakan 2023), termasuk mekanisme Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

“DPP bukanlah dasar untuk menambah jumlah pelarian di Pulau Pinang, sebaliknya, ia merupakan mekanisme yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pengurusan golongan berkenaan dilaksanakan secara lebih sistematik, berdaftar dan terkawal.

“Selain itu, DPP juga boleh diguna pakai sebagai satu mekanisme untuk mengetahui siapa mereka, di mana mereka berada dan bagaimana mereka boleh dipantau dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, berdasarkan data oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), seramai 20,022 pelarian Rohingya dan pemohon suaka dikesan berada di Pulau Pinang setakat Ogos 2023.

Katanya, antara lokasi penempatan mereka termasuk di Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh dan Bukit Mertajam selain direkodkan berada di sekitar di Batu Kawan, Nibong Tebal, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bukit Gelugor, Bayan Baru serta Balik Pulau.

Dalam pada itu, beliau berkata, keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah untuk memastikan bahawa keselamatan rakyat, kesejahteraan komuniti setempat serta pematuhan undang-undang sentiasa terpelihara.

“Justeru, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang termasuk aktiviti jenayah, penyalahgunaan dokumen, pemerdagangan manusia, penglibatan dalam kegiatan tidak bermoral atau pelanggaran syarat imigresen,” ujar beliau.

Tambahnya, kerjasama dengan badan keselamatan serta Kerajaan Persekutuan juga akan terus dipererat bagi memastikan pengurusan pelarian dan pemohon suaka dilaksanakan secara teratur, berdaftar dan terkawal tanpa menjejaskan keselamatan, kestabilan sosial serta kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN