Jasad dua pelajar IPG lemas berkayak selesai dibedah siasat

Jasad dua pelajar IPG lemas berkayak selesai dibedah siasat

AHLI keluarga salah seorang mangsa yang hadir ke HSB untuk menuntut jenazah setelah mereka ditemukan lemas di Pantai Merdeka, Sungai Petani. UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jasad dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang meninggal dunia akibat lemas ketika berkayak akan dibawa pulang ke Sarawak untuk urusan pengebumian.

Difahamkan, proses bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa, Joey Ling Lin Siang, 20, dan Christopher Ling Jia Siang, 21, sudah selesai dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Bagaimanapun, jasad mereka dijangka hanya dibawa pulang ke Kuching dan Sibu, esok melalui perkhidmatan kargo udara setelah urusan dokumentasi selesai.

Terdahulu, mayat mereka dicam waris masing-masing yang tiba bersama ahli keluarga ke HSB, petang semalam sebelum proses bedah siasat terus dilaksanakan.

Ahli keluarga mereka dilihat masih sugul dengan kejadian terbabit serta tidak bersedia untuk memberi sebarang kenyataan kepada pihak media.

Dalam insiden itu, Joey Ling dan Christopher Ling adalah penuntut tahun kedua Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPG berkenaan menyertai aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani.

Kayak dinaiki mereka dipercayai terbalik akibat dilanda ombak kuat ketika laut bergelora termasuk angin kencang dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, Sabtu lalu.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pengurusan jenazah kedua-dua mangsa diuruskan sepenuhnya dengan kerjasama pihak IPG bagi meringankan beban waris.

Kata beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyalurkan bantuan menyeluruh kepada keluarga dua penuntut terbabit selain sokongan emosi melalui perkhidmatan kaunseling kepada rakan-rakan mangsa yang terkesan dengan tragedi berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN