Top Glove catat untung bersih RM7.87 bilion, meningkat hampir 350% - Utusan Malaysia

Top Glove catat untung bersih RM7.87 bilion, meningkat hampir 350%

Prestasi kewangan tahunan Top Glove yang baik disebabkan permintaan sarung tangan yang tinggi, ditambah dengan peningkatan purata harga jualan (ASP) yang didorong oleh pandemik Covid-19. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Top Glove Corporation Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih terkumpul sebanyak 349.1 peratus kepada RM7.87 bilion pada tahun kewangan 2021 berbanding RM1.75 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Pendapatan jualan syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu juga meningkat dua kali ganda kepada RM16.41 bilion berbanding RM7.24 bilion tahun sebelumnya.

Selaras dengan komitmennya untuk memberi penghargaan kepada pemegang saham awamnya, kumpulan itu mengisytiharkan jumlah pembayaran dividen untuk suku keempat tahun kewangan 2021 sebanyak 71 peratus merangkumi pembayaran dividen khas 21 peratus ditambah 50 peratus selaras dengan dasar dividennya.

Ia mewakili jumlah dividen 5.4 sen sesaham terdiri daripada dividen akhir 3.8 sen sesaham dan dividen 1.6 sen sesaham yang akan dibayar pada 15 Oktober ini. 

Ini menjadikan jumlah dividen untuk tahun ini kepada 65.1 sen sesaham, 53.27 sen lebih tinggi daripada dividen 11.83 sen yang dibayar pada tahun kewangan 2020. 

Menurut kumpulan itu, prestasi kewangan tahunannya yang baik disebabkan permintaan sarung tangan yang tinggi, ditambah dengan peningkatan purata harga jualan (ASP) yang didorong oleh pandemik Covid-19.

Pengarah Urusannya, Datuk Lee Kim Meow berkata, pihaknya gembira dapat memberikan hasil yang memberangsangkan walaupun terdapat cabaran yang harus diharungi sepanjang tahun.

“Kami menghadiahkan kejayaan itu kepada tenaga kerja kami yang komited dan berkemampuan, yang juga telah bekerjasama dengan kami bagi mengharungi waktu yang sukar ini.

“Mereka bekerja tanpa lelah dan fokus dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kami dapat memenuhi keperluan sarung tangan di seluruh dunia terutamanya untuk petugas barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Kim Meow berkata, kejayaan itu juga membolehkan pihaknya untuk mewujudkan pekerjaan yang bermanfaat serta memenuhi kewajiban cukainya.

Bagaimanapun, bagi perbandingan suku ke suku, keuntungan bersih Top Glove pada suku keempat tahun kewangan 2021 yang berakhir 31 Ogos lalu menyusut 48 peratus peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Syarikat terbabit menyaksikan keuntungan bersihnya pada suku berkenaan merosot kepada RM608 juta berbanding RM1.2 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Berdasarkan makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia, prestasi yang lebih lemah itu disebabkan oleh permintaan yang kembali normal, diikuti oleh jumlah jualan dan ASP yang lebih rendah.

Syarikat juga tidak menafikan kemerosotan itu berpunca daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mana industri sarung tangan yang berpangkalan di Selangor tidak dapat beroperasi selama 10 hari yang turut melibatkan 50 peratus kilang Top Glove. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya