Mara terus jadi teras pemerkasaan Bumiputera

Mara terus jadi teras pemerkasaan Bumiputera

ANWAR Ibrahim mempengerusikan mesyuarat bersama Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) terus memainkan peranan penting sebagai institusi teras dalam agenda pemerkasaan Bumiputera.

Ia menerusi pembangunan yang lebih adil, inklusif dan menyeluruh demi menjamin masa depan golongan tersebut serta negara yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha berkenaan diperkukuh melalui akses kepada pendidikan berkualiti, latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembiayaan pendidikan, pembangunan usahawan serta sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Menerusi dasar yang diperjuangkan Mara, lebih ramai pekerja mahir dan separa mahir selain profesional dan usahawan tempatan yang berdaya saing dapat dilahirkan lantas menyumbang kepada tenaga kerja di negara ini.

“Natijahnya, ini sekali gus meningkatkan penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara selari dengan keperluan semasa dan cabaran masa hadapan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook, hari ini.

Katanya lagi, pelbagai transformasi dan program penskalaan usahawan dilaksanakan bagi memperkukuh mobiliti sosial dan penguasaan ekonomi negara.

“Perkara ini dimaklumkan dan ditekankan sewaktu saya mengadakan perjumpaan khas bersama pengurusan tertinggi Mara hari ini demi memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera terus dipacu denan tadbir urus yang baik, berintegriti dan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN