SEPANG: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) menjangkakan tempoh 28 jam akan datang sebagai tempoh paling getir bagi gelombang kedua Misi Pelayaran Global Sumud Flotila.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, tempoh getir itu dijangka berlaku apabila misi itu mula memasuki lapisan zon kuning pertama.
Beliau berkata, buat masa ini, SNCC beroperasi selama 24 jam mulai malam ini bagi memantau perjalanan misi berkenaan dan menjangkakan menerima pelbagai risiko yang besar.
“Untuk ketika ini, kita tak buka kepada awam (siaran langsung misi) sehinggalah sampai waktunya yang kita rasa saat cemas, kita akan mula siarkan kepada awam untuk rakyat menjadi saksi, dunia menjadi saksi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Sani Araby berkata, bagi misi kali ini, radius garisan kuning dan merah telah diubah berdasarkan analisis risiko keselamatan terkini di perairan operasi, sekali gus meletakkan situasi semasa pada tahap yang jauh lebih tegang dan berisiko tinggi.
Menurutnya, berdasarkan penilaian semasa, laluan dari Marmaris sehingga 30 batu nautika diklasifikasikan sebagai Zon Hijau, manakala kawasan antara 30 batu nautika hingga 150 batu nautika diletakkan di bawah Zon Kuning.
“Seterusnya, laluan bermula 150 batu nautika sehingga memasuki perairan Gaza kini dikategorikan sebagai Zon Merah (Red Zone), yang membawa tahap risiko keselamatan paling kritikal sepanjang misi pelayaran ini,” katanya.
Bagi misi kali ini, katanya, apabila mereka keluar dari pelabuhan Marmaris, Turkiye mereka sudah pun keluar daripada perairan antarabangsa dan memasuki garisan kuning.
“Jadi, kami anggarkan dalam tempoh 28 jam hingga 30 jam yang akan datang akan menjadikan tempoh yang sangat mencabar untuk misi kali ini,” katanya.
Sehingga sekarang, katanya, pihaknya belum menerima apa-apa laporan sama ada kapal mula diekori oleh dron ataupun sebarang ancaman serta gangguan.
“Tetapi kita sentiasa bersiap sedia khususnya sekiranya berlaku sabotaj daripada bawah air,” katanya.
Dalam pada itu, Sani Araby berkata, satu pelan tindakan strategik berskala besar akan diumumkan esok.
“Pelan strategik itu membabitkan mobilisasi rakyat, advokasi ahli parlimen, pengukuhan tekanan diplomatik antarabangsa, gerakan solidariti media serta tindakan perundangan global bagi memastikan isu kepungan dan pencabulan hak kemanusiaan di Gaza dan Palestin dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – UTUSAN










