KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion pada tahun ini untuk membantu peniaga kecil dan usahawan mikro.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembiayaan mikro ini dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro, dengan pinjaman sehingga RM100,000.
Katanya, pelbagai skim disalurkan melalui agensi dan institusi kewangan pembangunan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Agrobank dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat).
“Ekonomi Madani berpijak pada nilai ihsan, keadilan dan kesaksamaan. Kemudahan pembiayaan mikro ini mesti sampai kepada rakyat yang mahu menjana rezeki halal dan membina kehidupan yang lebih bermaruah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif agensi-agensi pembiayaan mikro, termasuk AIM, BSN, TEKUN Nasional, Agrobank, Mara, SME Bank dan Bank Rakyat.
Bagi skim tertentu, Anwar berkata, kadar pembiayaan yang ditawarkan adalah serendah tiga peratus setahun.
Katanya lagi, institusi kewangan berkaitan telah diarahkan supaya mempertingkat gerak kerja bagi mendekati seramai mungkin peniaga kecil, penjaja dan usahawan mikro yang memerlukan sokongan, khususnya mereka yang terhimpit oleh kekangan modal.
“Proses permohonan perlu dipermudah, syarat pembiayaan tidak membebankan dan pembiayaan diberi secara adil serta munasabah,” katanya.
Katanya lagi, kemudahan pembiayaan mikro ini ditujukan kepada pelbagai kumpulan rakyat dan usahawan mikro termasuk peniaga kecil, penjaja pasar malam, wanita, belia, pekerja gig, lepasan TVET, kontraktor kecil, pesawah serta golongan asnaf.
“Kemudahan pembiayaan mikro ini adalah berasingan daripada kemudahan pembiayaan PMKS yang baru diumumkan, khususnya RM5 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Khas PKS oleh Bank Negara Malaysia (BNM) serta RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP),” katanya.
Secara keseluruhan lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan disediakan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana pada tahun ini. – UTUSAN










