SEPANG: Gelombang kedua Misi Pelayaran Global Sumud Flotila secara rasminya telah mula belayar menuju perairan Gaza, Palestin kira-kira pukul 7.30 petang (waktu Malaysia) tadi.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, ia membabitkan pelayaran 54 buah kapal dengan seramai hampir 500 peserta dari pelbagai negara termasuk 29 rakyat Malaysia.
Beliau berkata, mereka mula belayar dari pelaburan Marmaris, Turkiye petang tadi.
“Pelayaran fasa akhir ini juga berlaku sehari sebelum peristiwa Nakba iaitu 15 Mei pada tahun 1948 iaitu kira-kira 78 tahun yang lalu.
“Misi ini melibatkan hampir 500 peserta antarabangsa daripada 45 buah negara yang digerakkan oleh pelbagai kumpulan aktivis kemanusiaan sedunia dengan sokongan penuh kerajaan Malaysia, Turkiye, Sepanyol dan Brazil.
“SNCC juga mengesahkan lebih 40 peserta daripada enam buah negara Nusantara iaitu Malaysia, Indonesia, Pakistan, India, Sri Lanka dan Filipina turut menyertai pelayaran fasa akhir ini,” katanya.
Katanya, seramai 29 peserta Malaysia itu terdiri daripada tenaga profesional pelbagai bidang masing-masing berusia antara 22 hingga 58 tahun termasuk pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad.
Menurutnya, peserta Malaysia lain termasuk dua orang bertindak sebagai penganjur, dua orang kapten kapal, lima pembantu kapten, lima kru, 11 kapal pegawai perubatan, dua peserta umum dan masing-masing seorang kru dokumentasi dan juruteknik.
Menurutnya, tiga peserta Malaysia iaitu Muhammad Aqill Asmadi, Mohd Zurimi Karim dan Serieffa Mushtafa Albakry telah distruktur semula peranan mereka dan akan kembali ke tanah air bagi memperkukuhkan strategi operasi lapangan SNCC.
“Saya sempat berhubung dengan mereka (peserta Malaysia) petang tadi dan mereka boleh dikatakan semuanya masih lagi bersemangat.
“Mereka juga gembira kerana kerajaan Turkiye memberi sambutan hebat ke atas pelepasan misi hari ini sekali gus menunjukkan bahawa kita (Malaysia) tidak berseorangan.
“Maksudnya masih banyak lagi pihak yang datang dan memberikan sokongan secara besar-besaran dan itu memberi tambah nilai kepada misi kali ini,” katanya. – UTUSAN










