fbpx

23 September 2021, 2:26 pm

  TERKINI

Tok Guru Pak Teh Mad tak pernah jemu mengajar agama

ALLAHYARHAM TOK GURU PAK TEH MAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tokoh ulama Kedah, Datuk Ahmad Mohd. Nor, 96, atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Pak Teh Mad, 96, tidak jemu-jemu mengajar agama Islam sehingga ke hujung nyawanya.

Menurut salah seorang pembantu Madrasah Ahmadiah yang diasaskan Allahyarham, Mohd. Ariff Abdul Wahab, 37, Tok Guru Pak Teh Mad tidak pernah menolak tetamu yang mengunjungi pondok tersebut untuk mendengar amanatnya walaupun uzur.

“Itulah Tok Guru. Sebelum jatuh sakit pada hujung Ogos lepas, memang ramai yang datang ziarah arwah dari seluruh negara dan arwah tidak pernah menolak walaupun dalam keadaan Covid-19 ini.

“Arwah menghargai semua yang datang dari jauh nak ziarahnya kerana arwah selalu cakap, jika ada kesempatan ziarahlah ulama-ulama ini sementara mereka masih ada. Kami sendiri tak jangka jadi macam ini tetapi reda,” katanya di sini hari ini.

Ahmad meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang hari ini akibat jangkitan paru-paru dipercayai Covid-19 setelah dimasukkan ke hospital berkenaan pada malam Jumaat lepas.

Sementara itu menurut anak Allahyarham, Wan Najidah Ahmad, 46, bapanya menghembus nafas di sisi dua doktor yang merawatnya pada pukul 12.57 pagi.

“Doktor beritahu ada jangkitan pada paru-paru arwah. Ayah dimasukkan ke hospital pada malam Jumaat lepas dan kesihatannya merosot walaupun kuman di paru-paru sedikit sahaja. Tuhan lebih sayangkan arwah, kami reda.

“Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Padang Gelanggang pada pukul 11.30 pagi.

“Pengebumian akan diuruskan oleh pihak hospital. Alhamdulillah semua lancar,” katanya.

Kata Wan Najidah, anggota keluarganya reda kerana tidak berpeluang menguruskan pengebumian tersebut kerana prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

Bercerita lanjut katanya, Allahyarham sempat meminta kakitangan hospital mengurusnya untuk solat Isyak sebelum tidur semalam.

“Arwah akan solat dengan sempurna iaitu berdiri walaupun tak sihat. Cuma bila keadaan kesihatannya makin tidak baik ayah akan solat duduk,” katanya.

Ahmad meninggalkan seorang isteri, Datin Wan Salehah Wan Ibrahim, 83 dan 10 anak.

Dilahirnya pada 16 November 1925 di Kampung Tanjung  Mukim Padang Terap, Allahyarham merupakan Pengasas Maktab Mahmud Padang Terap dan Pondok Ahmadiah di sini.

Allahyarham mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Padang Terap; Madrasah Sa’adatun Daroian, Merbok; Pondok Pulau Rotan, Nako Nambua; Madrasah Al-Islamiah, Gajah Mati dan Madrasah Soulatiyyah, Mekah.

Kehilangan Allahyarham disifatkan kehilangan besar dalam institusi keagamaan negara apabila Ahmad menabur bakti sehingga hujung nyawanya di madrasah berkenaan. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI