NEW JERSEY: Kem Maghribi kini menanti dengan penuh debaran keputusan ujian kecederaan lutut yang dialami pemain sayap mereka, Abde Ezzalzouli menjelang aksi pembukaan Piala Dunia menentang Brazil, Sabtu ini.
Pemain Real Betis itu mengalami kecederaan pada lutut kanan ketika membantu pasukannya seri 1-1 dengan Norway dalam perlawanan persahabatan, Ahad lalu.
Menurut sumber rapat dengan skuad Maghribi, keputusan ujian perubatan yang dijalankan akan menentukan tahap kecederaan sebenar pemain berusia 23 tahun itu serta peluangnya untuk diturunkan dalam perlawanan pertama kejohanan.
“Semua pihak sedang menunggu keputusan ujian Ezzalzouli bagi mengetahui sejauh mana serius kecederaannya dan sama ada dia mampu pulih tepat pada waktunya untuk Piala Dunia,” katanya.
Maghribi dijadual membuka kempen Kumpulan C menentang Brazil di East Rutherford sebelum berdepan Scotland dan Haiti.
Sumber itu turut menjelaskan bahawa pihak pengurusan pasukan memerlukan sekurang-kurangnya 48 jam untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai kecederaan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
Pada masa sama, laporan yang mendakwa Ezzalzouli mungkin terpaksa berehat selama tiga hingga empat minggu atau terlepas keseluruhan kejohanan disifatkan sebagai spekulasi semata-mata.
Selain Ezzalzouli, skuad kendalian Maghribi turut berdepan kebimbangan terhadap kecergasan pertahanan mereka, Noussair Mazraoui selepas mengalami kecederaan bahu ketika aksi menentang Norway.
Kehadiran kedua-dua pemain itu dianggap penting dalam misi Maghribi untuk memulakan kempen Piala Dunia dengan keputusan positif ketika berdepan cabaran getir daripada Brazil. – AFP










