MEXICO CITY: Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum memberi jaminan majlis pembukaan Piala Dunia minggu ini akan berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal meskipun negara itu berdepan gelombang protes berterusan oleh kesatuan guru.
Beliau berkata, kerajaan akan memastikan segala persiapan serta penganjuran kejohanan bola sepak berprestij itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
“Kami akan menjamin sambutan Piala Dunia dapat dilaksanakan dengan baik dalam suasana aman dan tenteram,” katanya dalam sidang akhbar harian, semalam.
Sebelum ini, sebuah kesatuan guru mengancam untuk mengadakan demonstrasi ketika perlawanan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan di ibu negara itu, Khamis ini jika kerajaan gagal memenuhi tuntutan mereka berkaitan kenaikan gaji dan pembaharuan sistem pencen.
Minggu lalu, pihak polis terpaksa menyuraikan penunjuk perasaan menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah berhampiran Dataran Zocalo yang menjadi lokasi utama zon penyokong Piala Dunia.
Kawasan sekitar dataran bersejarah itu kini ditutup dengan penghadang besi sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Dalam perkembangan sama, kumpulan guru yang mengadakan bantahan turut merobohkan beberapa arca peringatan pemain bola sepak di pusat bandar Mexico City.
Walaupun kerajaan meneruskan rundingan dengan wakil kesatuan, kumpulan berkenaan menganggap cadangan yang dikemukakan masih belum memadai.
Protes itu turut disertai ratusan pelajar dari Kolej Perguruan Ayotzinapa yang menuntut siasatan lebih menyeluruh berhubung kehilangan 43 pelajar institusi tersebut pada 2014.
Sementara itu, polis Mexico City memaklumkan pihaknya menemui 59 alat letupan buatan sendiri dalam sebuah konvoi bas yang memasuki ibu negara semalam.
Kehadiran khemah-khemah penunjuk perasaan di pusat bandar turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peniaga yang mendakwa keadaan itu menjejaskan kehadiran pelancong sempena kejohanan berkenaan.
Seorang pekerja restoran, Jonathan Herrera berkata, sekatan yang dikenakan menyebabkan pelanggan sukar memasuki premis perniagaan di kawasan terbabit.
“Orang ramai tidak datang dan pelancong juga berasa takut untuk berada di sini,” katanya. – AFP










