3.2 juta tidak bekerja babit nilai RM379 bilion setahun

3.2 juta tidak bekerja babit nilai RM379 bilion setahun

NANCY Shukri (tengah) bergambar bersama tetamu kehormat dan peserta pada Program Meja Bulat Ekonomi Penjagaan ABAC Malaysia 2026 di ibu negara, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 3.2 juta rakyat di negara ini tidak dapat bekerja sepenuh masa kerana menjaga keluarga, de­ngan nilai penjagaan dan kerja rumah tidak dibayar itu dianggarkan mencecah RM379 bilion setahun.

Menteri Pembangunan Wani­ta, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kajian Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia itu menunjukkan majoriti membabitikan wanita dan tanggungjawab penjagaan ini menjadi antara punca mereka tidak dapat masuk atau kekal dalam pasaran kerja.

Jumlah berkenaan secara kasarnya, menyamai nilai kese­luruhan sektor pembuatan kepada negara.

“Pelaburan dalam sistem penjagaan bukan lagi sekadar isu sosial, tetapi merupakan satu keperluan ekonomi.

“Dengan membolehkan penyertaan tenaga kerja yang lebih besar melalui sistem penjagaan yang boleh diakses, ia mampu menyumbang sekitar RM77 bi­lion setahun atau kira-kira lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya ketika berucap pada Program Meja Bulat Ekonomi Penjagaan ABAC Malaysia 2026 di ibu negara, semalam.

Nancy turut berkongsi pengalaman peribadinya sebagai seorang anak yang menghadapi kesukaran mencari penjaga bertauliah ketika ibunya jatuh sakit.

“Saya pernah melalui penga­laman mencabar mencari pen­jaga bertauliah untuk ibu saya. Bayangkan kesukaran dihadapi berjuta keluarga lain yang mempunyai sumber terhad.

“Kita perlu mengubah cara kita melihat sektor penjagaan ini daripada kerja sampingan kepada satu sektor ekonomi yang profesional dan mampan,” katanya.

Malaysia dijangka memasuki fasa negara tua menjelang tahun 2050, di mana penduduk berumur 60 tahun ke atas akan merangkumi 15.3 peratus daripada populasi.

Trend ini diburukkan lagi dengan kadar kesuburan negara yang menjunam daripada 6.0 kelahiran bagi setiap wanita pada tahun 1960 kepada ha­nya 1.6 pada masa kini, iaitu di bawah tahap penggantian 2.1.

Bagi mendepani krisis tersebut, Nancy berkata, kementeriannya sedang melaksanakan beberapa langkah strategik termasuk pengenalan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030.

“Melalui Bajet 2026, kementerian memperuntukkan dana bagi melaksanakan latihan penjagaan di bawah program TVET Penjagaan (MTVET) untuk me­lahirkan penjaga yang kompeten dan mahir.

“Seramai 2,000 pelajar dijangka akan mengambil program itu berbanding tahun lepas sekadar 1,000 sahaja.

“Kami juga dalam proses membangunkan Standard Penjagaan Kebangsaan bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sebagai instrumen tadbir urus bagi memastikan kualiti dan keselamatan perkhidmatan penjagaan di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN