PETALING JAYA: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan kerajaan yang telah dibentuk.
Beliau berpendirian sedemikian berdasarkan kepada beberapa fakta, antaranya adalah proses pemilihan telah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan teliti dan telus untuk melantik Perdana Menteri kesembilan.
Justeru, kata beliau, secara jelasnya pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan adalah sah dan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.
“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka boleh diatasi oleh pihak lain.
“Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh hal yang demikian, berdasarkan kepada fakta-fakta dan kedudukan di atas, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri dan kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE










