PUTRAJAYA: Insiden anggota polis memijak kepala seorang suspek di Kulim, Kedah baru-baru akan disiasat secara menyeluruh termasuk meneliti kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan melaksanakan siasatan menyeluruh bagi insiden itu.
Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berhubung perkara berkenaan.
“Setiap anggota polis pastinya sudah sedia maklum mengenai SOP ketika menjalankan tugas. Saya arahkan supaya siasatan disegerakan termasuk menyemak sama ada ada kepatuhan tatacara dari segi penguatkuasaan (dipatuhi),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai rakaman video tular di media sosial memaparkan anggota polis dilihat menarik seorang suspek daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum memijak kepala lelaki itu.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebarang tindakan susulan akan berpandukan hasil siasatan unit integriti pasukan keselamatan itu.
“Jika perlu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan dilibatkan untuk menilai sama ada terdapat sebarang pelanggaran. Namun, kita perlu meneliti semua aspek secara menyeluruh terlebih dahulu,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat penilaian terburu-buru hanya berdasarkan klip video pendek yang tular di media sosial.
“Apa yang kita lihat hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan insiden. Kita juga perlu mengambil kira apa yang berlaku sebelum itu.
“Adakah suspek bertindak agresif? Adakah dia melawan arus? Adakah terdapat cubaan merempuh kenderaan polis? Semua faktor ini perlu disiasat,” katanya.
Jelasnya lagi, pendekatan seimbang perlu diambil bagi memastikan akauntabiliti tanpa menjejaskan moral anggota polis.
“Kita tidak boleh bertindak melulu kerana ia boleh menjejaskan semangat anggota yang menjalankan tugas penguatkuasaan, terutama apabila berdepan suspek yang berpotensi agresif,” katanya. – UTUSAN










