‘Layan jemaah haji ibarat ibu bapa sendiri’

‘Layan jemaah haji ibarat ibu bapa sendiri’

Anak-anak kapal Amal memberi layanan mesra ibarat ibu bapa sendiri kepada bakal-bakal haji dalam perjalanan ke Madinah, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADINAH: Layanan penuh kasih sayang ibarat ibu bapa dan keluarga ditunjukkan anak kapal Amal terhadap jemaah haji Malaysia sepanjang penerbangan ke tanah suci.

Meskipun tidak mengenali jemaah, pramugara dan pramugari Amal iaitu anak syarikat Malaysia Airlines Berhad, mereka mengutamakan kebajikan penumpang warga emas dan membantu setiap keperluan seolah-olah menjaga ibu bapa sendiri.

Penyelia kru penerbangan Amal, Kamarul Hisham Ka­ma­rulzzaman, 59, berkata, pe­ngalaman lebih 36 tahun dalam industri penerbangan banyak membentuk pendekatannya dalam menyantuni jemaah.

“Kami anggap mereka seperti ibu bapa sendiri. Daripada mereka masuk pesawat hingga tiba di destinasi, kami cuba pastikan mereka selesa.

“Kami bantu dari segi tempat duduk, makanan serta keperluan lain,” katanya dalam penerbangan kedua haji membawa 284 jemaah dari Kuala Lumpur ke Madinah.

Dalam pada itu, seorang lagi Pramugari, Nurjannahadibah Naim, 36, berkata, kebanyakan jemaah haji yang dibawa adalah warga emas, sekali gus memerlukan pendekatan lebih lembut dan penuh kesabaran.

“Ramai dalam kalangan mereka kali pertama menaiki pesawat. Kita faham perasaan itu, jadi kita cuba dampingi dan beri keyakinan supaya mereka tidak rasa keseorangan sepanjang perjalanan,” katanya.

Seorang lagi kru, Sharmila Rahman, 36, mengambil pendekatan berbeza untuk mencipta kenangan bermakna buat jemaah termasuk membantu merakam gambar mereka bersama pasangan atau rakan di dalam pesawat.

“Kita tak tahu bila kita tiada. Dapat pergi haji ini pun satu ibadah yang besar, jadi kita bantu abadikan momen dalam pesawat bersama pasangan atau keluarga supaya menjadi tanda kenangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN