Selangor teruskan RTB atasi banjir kilat dalam 100 tahun

Selangor teruskan RTB atasi banjir kilat dalam 100 tahun

AMIRUDIN Shari (tiga dari kiri) menerima replika cek daripada wakil Kumpulan Semesta di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Selangor, hari ini. - FOTO/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mahu melaksanakan Pelan Perancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dijangka mampu menampung limpahan air yang banyak dan mengurangkan risiko berlaku banjir dalam tempoh 100 tahun.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan perancangan berkenaan dikatakan bakal memakan masa sehingga setahun selepas berlaku kelewatan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lazimnya tempoh yang diambil untuk menyelesaikan projek berkaitan saliran dan perparitan hanya mengambil masa beberapa bulan.

Menurutnya, RTB dilancarkan pada tahun lalu selepas kejadian banjir di Hulu Langat.

“Namun, sistem saliran dan perparitan yang kerajaan Selangor laksanakan ini ambil masa setahun untuk disiapkan kerana kita buat sistem saliran untuk menerima jumlah air yang banyak untuk tempoh 100 tahun,” katanya 

Beliau berkata demikian berhubung usaha untuk mengatasi masalah banjir kilat, selepas menghadiri Program Penyerahan Sumbangan Kumpulan Semesta kepada kerajaan negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kejadian banjir kilat berlaku pada minggu lalu Ahad lalu di sekitar bandar raya ini termasuk di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga; Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 dan kawasan berhampiran Stadium Malawati di Seksyen 13.

Selain itu, kawasan seperti Kampung Budiman dan Jalan Paip di Meru, Klang turut digenangi air selepas hujan lebat selama beberapa jam menyebabkan air melimpah dari perparitan dan sungai berhampiran.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan kerajaan negeri akan melakukan penelitian untuk membina ban air yang lebih baik sebagai persediaan menghadapi kejadian air pasang. 

“Melihat kepada insiden ban pecah di Dengkil dan Kuala Selangor sebelum ini, kita perlu nilai semula jenis bahan yang digunakan untuk membuat ban itu. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini akan membincangkan mengenai persiapan kerajaan negeri bagi menghadapi banjir di Selangor. 

“Hasil mesyuarat hari ini akan dibentangkan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTENS) untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya