SEREMBAN: Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah rumah di Bandar Sri Sendayan di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Azahar Abdul Rahim berkata, kejadian didakwa berlaku semalam ketika bayi berkenaan ditidurkan oleh pengasuh dalam buaian dengan mulut diberi puting jenis silikon.
Katanya, pengasuh kemudian menghubungi ibu bayi itu selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri.
“Bayi itu telah dibawa ke sebuah klinik swasta di BSS tetapi kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dengan menaiki ambulan.
“Doktor yang bertugas di HTJ telah berusaha melakukan prosedur bantuan pernafasan kecemasan (CPR) namun mendapati bayi itu telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati bayi itu telah dijaga oleh pengasuh sejak Disember tahun lalu..
Jelasnya, mayat bayi itu telah dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat dan pengasuh telah ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN










