Guru wanita didakwa lima pertuduhan amang seksual pelajar

Guru wanita didakwa lima pertuduhan amang seksual pelajar

NURUL Asyikin Sutan Shahril hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban hari ini bagi berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun sejak tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang guru wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun sejak tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Asyikin Sutan Shahril, 42, bagaimanaoun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Aisyah Ab Rashid.

Mengikut tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa sebagai guru kelas didakwa melakukan amang seksual fizikal termasuk seks oral terhadap mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bawah pokok berhampiran Taman Apartment Arowana, Seremban 2 serta di sebuah rumah di Taman Nusa Intan di sini antara 12 September 2025 hingga 7 April 2026.

Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan [Akta 574] dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 pula, tertuduh boleh dipenjara maksimum lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.

Selain itu, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa dengan menunjukkan gambar alat sulitnya menerusi aplikasi WhatsApp bagi maksud seksual serta mendorong mangsa menghantar gambar sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 13 September 2025 hingga 10 April lalu di sebuah bilik apartment di Seremban 2.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) dan Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

Turut hadir dalam prosiding itu peguam pemerhati, Nurul Ain Syamimie Anuar mewakili firma guaman Zahid Ahmad & Associates.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain syarat tambahan.

Peguam bela, Zaflee Pakwanteh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya bekerja sebagai guru dengan pendapatan RM6,000 sebulan serta mempunyai dua anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin selain suami, berserta syarat tambahan yang ditetapkan. Mahkamah menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN