Watak Hang Tuah, memang saya dapat tawaran daripada Tiara - Amir Ahnaf - Utusan Malaysia

Watak Hang Tuah, memang saya dapat tawaran daripada Tiara – Amir Ahnaf

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Amir Ahnaf,26 mengaku telah menarik diri daripada produksi teater muzikal ikonik Puteri Gunung Ledang (PGL)  sekali gus melepaskan peluang membawakan watak hero legenda, Hang Tuah.

Menurut Amir, keputusan itu dibuat bukan kerana tidak menghargai tawaran daripada penerbit dan pengarah terkenal,Puan Seri Tiara Jacquelina, tetapi kerana merasakan dirinya masih belum benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab besar tersebut.

“Saya dapat tawaran daripada Tiara dan saya memang sibuk ketika itu. Saya cakap pada Tiara, Insya-Allah kalau ada rezeki saya akan buat lain kali. Dan saya sendiri pun tak rasa yang watak Hang Tuah itu sebenarnya untuk saya.

“Saya baru 26 tahun, rasanya banyak lagi saya kena belajar,” katanya ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana filem The Furious : Pertaruhan Maruah di ibu negara, semalam.

Selain itu, mengulas sama ada dia berasa ralat menolak peluang besar itu, Amir mengakui dia percaya setiap perkara mempunyai waktunya tersendiri dan tidak mahu terburu-buru menerima sesuatu watak demi meraih populariti.

“Tidaklah, saya rasa belum sampai masanya lagi. Tapi secara peribadi saya rasa Aqasha adalah pelakon yang bagus sebenarnya.

“Bagi saya ini peluang akan sentiasa ada dan kepercayaan pun akan sentiasa ada kalau kita sentiasa mementingkan kualiti,” ujarnya.

Sebelum ini, nama Amir hangat diperkatakan netizen sebagai antara calon paling sesuai untuk menggalas watak Hang Tuah dalam pementasan berprestij itu.

Malah, ramai peminat menyuarakan sokongan agar pelakon berkenaan menerima tawaran tersebut.

Dalam pada itu, Amir menyifatkan sokongan yang diterimanya sebagai satu penghargaan besar, namun dia enggan mengejar peluang sekiranya belum benar-benar bersedia dari segi mutu lakonan.

“Saya ambil sokongan daripada penonton itu sebagai simbol kejayaan. Insya-Allah nanti umur saya 30 atau 35 tahun nanti mungkin ada peluang lagi.

“Saya cuba sedaya upaya untuk menjaga kualiti dalam setiap kerja dan naskhah yang saya ambil. Dan kalau hati saya sendiri rasa Hang Tuah itu belum milik saya, maknanya belum sampai masanya lagi,” katanya.

Selain itu, pelakon ini turut mengakui watak Hang Tuah sebenarnya merupakan antara karakter impiannya sejak kecil memandangkan dia mempunyai kecintaan mendalam terhadap karya berunsur sejarah dan budaya Melayu.

“Saya lahir daripada bidang  teater, dan daripada teater itulah yang buatkan saya jatuh cinta dengan seni berlakon.

“Saya sangat menyukai teater PGL sebab saya membesar dengan naskhah sebegitu rupa. Sebenarnya saya lebih suka naskhah yang lebih ke arah Melayu, folklore dan sejarah kita.

“Dan sejujurnya karakter-karakter macam itu memang saya impikan sejak kecil lagi, tapi belum sampai masanya lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN