Pasangan suami isteri tanam ganja di balkoni rumah

Suami isteri tanam ganja di balkoni rumah

SOFFIAN Santong (dua dari kanan) menunjukkan pokok ganja yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Ayer Itam, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Cubaan suami isteri yang mahu menanam ganja di balkoni kediaman mereka gagal selepas kedua-duanya ditahan polis bersama dua batang pokok ganja berusia lima bulan dalam serbuan di sebuah kondominium di Ayer Itam, di sini semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 1.30 pagi itu, polis turut merampas beberapa jenis dadah dan peralatan menghisap dadah dipercayai milik suspek lelaki berusia 38 tahun berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek lelaki yang bekerja di sebuah stesen minyak ditahan di bawah kondominium berkenaan bersama dua paket plastik syabu seberat 12.61g dan satu paket plastik ganja (4.2g) yang bernilai RM1,461.

“Selepas menahan suspek lelaki ini, polis menyerbu kondominium didiami suspek dan menahan isteri suspek yang berusia 36 tahun. Pemeriksaan di atas lantai balkoni menemui dua batang pokok ganja bernilai RM1,180 setinggi 19 sentimeter (sm) dan 40 sm di dalam dua pasu,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Timur Laut, di sini hari ini.

Menurut beliau, polis turut menemui 13 paket lutsinar mengandungi bahan disyaki ganja seberat 163 gram (g) bernilai RM8,150 dan peralatan menghisap dadah di ruang tamu rumah.

“Siasatan lanjut mendapati pasangan yang bekerja di sebuah stesen minyak itu menanam sendiri pokok ganja berkenaan selepas percubaan menyemai biji benih berjaya. Kita juga dapati pokok berkenaan dalam keadaan subur dan dijaga rapi,” katanya.

Tambahnya, pasangan itu dipercayai memperoleh biji benih menerusi ganja yang dibeli oleh suspek dan ia ditanam sejak kira-kira lima bulan lalu.

Dalam pada itu, Soffian berkata, polis turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora bersama dadah berkenaan yang bernilai RM10,791.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelak positif ganja, kedua-dua mereka direman selama enam hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a), Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya