TEHERAN: Badan baharu Iran yang mengawasi Selat Hormuz pada Khamis mengesahkan arahan penutupan sepenuhnya laluan perairan strategik itu sehingga diberitahu kelak, selepas Kor Pengawal Revolusi mengumumkan langkah tersebut pada malam sebelumnya.
“Disebabkan ketegangan yang berpunca daripada pencerobohan tentera Amerika di rantau ini dan pengumuman yang dibuat oleh angkatan tentera Iran malam tadi, Selat Hormuz akan ditutup sehingga diberitahu kelak,” kata Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi (PGSA) dalam satu hantaran di platform X.
“Pemohon yang telah diberikan permit transit diminta supaya bersabar dan menunggu arahan daripada PGSA,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, Markas tentera Iran mengumumkan bahawa ia akan menyasarkan mana-mana kapal yang melalui Selat Hormuz.
Kenyataan itu dibuat selepas tenteranya menyerang dua buah kapal yang cuba merentasi laluan strategik tersebut ketika rundingan untuk menamatkan perang semakin menemui jalan buntu.
Markas Khatam al-Anbiya berkata bahawa semua trafik kapal yang melalui Selat Hormuz akan menjadi sasaran dan menambah bahawa selat itu kini ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kapal”, menurut agensi berita Tasnim.
Tentera Laut Pengawal Revolusi Iran (IRGC), yang dipetik oleh televisyen negara IRIB dan agensi berita Mehr, berkata, dua buah kapal yang cuba melalui Selat Hormuz secara haram telah diserang.
Perang Asia Barat bermula apabila AS dan Israel menyerang Teheran pada 28 Februari lalu sehingga menyebabkan Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khameni terbunuh. – AFP/ AGENSI










